Kerajaan tak cadang lanjut tempoh kemasukan pekerja asing

Kerajaan tak cadang lanjut tempoh kemasukan pekerja asing

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini berikutan tempoh diberikan munasabah untuk menguruskan segala prosedur.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata negara juga akan mempunyai lebih 2.6 juta pekerja asing menjelang Disember, melebihi sasaran iaitu 2.5 juta. (Gambar Bernama)
NIBONG TEBAL:
Kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh kemasukan pekerja asing ke negara ini menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 termasuk dari Bangladesh, yang berakhir pada 31 Mei lalu.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini berikutan tempoh diberikan oleh Malaysia adalah munasabah, untuk menguruskan segala prosedur kemasukan pekerja asing.

“Pada ketika kita tetapkan tarikh itu (31 Mei), kita mengambil kira semua proses, bermakna bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa dan mengatur tiket.

“Ternyata baru-baru ini, jumlah kemasukkan lebih 20,000 pekerja asing dalam masa empat hari (28 hingga 31 Mei) dan apabila kita semak antara yang masuk itu, kelulusan visa itu diperoleh November tahun lepas.

“Isunya kenapa tunggu sampai 31 Mei untuk bawa masuk,” katanya kepada pemberita selepas Program Lawatan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak ke Penjara Seberang Perai.

Saifuddin berkata, mengikut unjuran jumlah dengan trend kemasukan lebih 20,000 baru-baru ini, negara akan mempunyai lebih 2.6 juta pekerja asing menjelang Disember ini, melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu 2.5 juta pekerja asing.

Beliau berkata, kemasukan pekerja asing telah mencecah sasaran keperluan tenaga asing bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan manakala bagi sektor perladangan dan pertanian, kerajaan akan memproses mengikut kelulusan kuota yang sedia ada buat masa ini tanpa melibatkan kelulusan baharu dan berdasarkan kes.

Media tempatan melaporkan Bangladesh memohon kepada Malaysia melanjutkan tempoh kemasukan supaya hampir 17,000 pekerja Bangladesh yang diluluskan visa tetapi terlepas tarikh akhir 31 Mei boleh masuk ke negara ini.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata beliau tidak mencampuri siasatan kes seorang anggota pengiring orang kenamaan memukul seorang lelaki orang kurang upaya yang juga pemandu e-panggilan, sebaliknya menyerahkannya kepada Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

“Itu kena tanya IGP (ketua polis negara) kot. Saya tak campur, bagi IGP buat,” katanya.

Pada Jumaat, Razarudin berkata polis akan memanggil pegawai yang terlibat dalam siasatan kes tersebut ke Bukit Aman, untuk membantu siasatan dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.