
Pengarah Komunikasi, Abbas Azmi, berkata jika ia tetap diserahkan kepada Umno, pihaknya menuntut Menteri Besar Amirudin Shari memberikan jawatan penyelaras DUN Batang Kali atau Parlimen Hulu Selangor kepada Amanah sebagai ganti.
“Sebenarnya isu ini kita nak selesaikan secara dalaman di peringkat PH sahaja sebab ia melibatkan rundingan dengan parti komponen kerajaan perpaduan. Bila diarahkan pertukaran penyelaras kami semua amat terkejut, sebab kita sudah buka pejabat di DUN Hulu Bernam.
“Kita tidak berpuas hati dan tidak bersetuju dengan tindakan ini (beri kepada Umno),” katanya kepada FMT.

Abbas yang juga Adun Seri Serdang berkata, Amanah Hulu Selangor sudah mengeluarkan wang yang banyak untuk membuka pejabat penyelaras DUN sehingga terpaksa berhutang dan berharap menteri besar menyelesaikan isu itu secara ‘menang-menang’.
“Saya yakin dengan kredibiliti menteri besar Selangor, benda ini boleh diselesaikan dengan situasi ‘menang-menang’, sebab selama ini menteri besar memang seorang berlaku adil dan mendengar pendapat semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, isu jawatan penyelaras DUN Hulu Bernam diberikan kepada Umno juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat PH Selangor.
Sebelum ini, Amanah Hulu Selangor meminta Amirudin menyerahkan semula jawatan pegawai penyelaras DUN Hulu Bernam disandang timbalan ketuanya, Roslin Md Zin.
Naib Ketua Amanah Hulu Selangor, Mohammad Syafiq Musa, mendakwa Roslin ditamatkan tugas dengan jawatan itu diberikan kepada Ketua Umno Hulu Selangor, Mohd Isa Abu Kasim yang berpunca daripada gerakan politik diatur pihak tertentu.
Batang Kali dan Hulu Bernam ialah dua DUN bawah Parlimen Hulu Selangor yang dikuasai Perikatan Nasional (PN).