Percumakan yuran periksa, Puad bimbang nasib 10,000 pelajar tak ambil SPM

Percumakan yuran periksa, Puad bimbang nasib 10,000 pelajar tak ambil SPM

Puad Zarkashi berkata pelajar tidak ambil SPM itu perlu diberi peluang kedua ambil kira kepentingan masa depan mereka.

puad-zarkashi
Puad Zarkashi, yang juga bekas menteri pendidikan berkata SPM sijil penting bagi kelayakan minimum masuk universiti dan diterima bekerja. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan wajar memberi peluang kedua kepada 10,160 calon tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, sama ada pada kadar bayaran separuh mahupun percuma, kata Puad Zarkashi.

Katanya, SPM merupakan sijil penting bagi kelayakan minimum masuk universiti dan untuk diterima bekerja.

Beliau yang pernah menjadi timbalan menteri pendidikan, berkata punca mereka ‘tercicir’ perlu dikenal pasti segera.

“Apakah puncanya, mahu bekerja awal, terpengaruh dengan bisnes ‘online’ yang lebih menguntungkan atau sistem pendidikan kita makin tidak terurus.

“Bagaimana KPM terlepas pandang. Ada baiknya kesan mereka dan beri peluang kedua kepada mereka untuk menduduki SPM sekali lagi. Percuma atau bayar separuh,” katanya dalam catatan Facebook.

Menyifatkan jumlah pelajar tidak mengambil SPM mengejutkan, Puad berkata jumlah pelajar yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan utama itu juga menurun, berbanding 2022.

“Kita ghairah meraikan kejayaan 11,713 calon SPM 2023 kerana dapat semua A, tetapi sedihnya 75% pelajar hanya setakat lulus minimum.

“Amat menakutkan dari 373,525 calon lebih kurang 278,700 calon dapat keputusan setakat lulus, gagal satu mata pelajaran, dan ada yang gagal semua subjek,” katanya.

Pada 27 Mei, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, berkata jumlah ketidakhadiran itu perlu ditangani dan diteliti supaya langkah intervensi dapat dilaksanakan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti satu persatu dengan intervensi akan dilaksana sebaiknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.