Pelatih kursus PGA maut terkena strok haba ketika rentas desa

Pelatih kursus PGA maut terkena strok haba ketika rentas desa

Mohd Zulkifly Rozak, 31, rebah ketika mengikuti kursus asas itu pada Khamis dan disahkan meninggal dunia semalam.

bainun
Seorang peserta kursus asas PGA di Pusat Latihan Ulu Kinta disahkan meninggal dunia akibat strok haba di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh, semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang peserta Kursus Asas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan PGA Ulu Kinta meninggal dunia semalam dipercayai akibat strok haba ketika menyertai rentas desa.

Mohd Zulkifly Rozak, 31, rebah ketika mengikuti kursus asas itu pada Khamis dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan.

Beliau disahkan meninggal dunia pada 7.45 pagi semalam.

Komandan Pusat Latihan PGA Ulu Kinta Mohammad Hafiz Kadir berkata, sebelum dibawa ke HRPB, mangsa yang rebah ketika merentas desa dibawa terlebih dahulu ke Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan, dengan ambulans.

“Ketika dibawa, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri (lalu) terus dirujuk ke HRPB. Mangsa kemudian ditidurkan pada sebelah malam ketika di HRPB.

“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kemudian disahkan meninggal dunia semalam.

“Punca kematian Mohd Zulkifly disahkan oleh doktor akibat strok haba dan kegagalan organ,” katanya, lapor Bernama.

Mohammad Hafiz berkata, mangsa yang sudah berkahwin, bersama 251 peserta lain melapor diri bagi menjalani kursus asas PGA bermula 28 April dan dijangka tamat pada 26 Julai.

Jenazah dibawa pulang ke Kuala Terengganu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Mohammad Hafiz berkata, pihaknya sudah menghantar laporan kejadian kepada Bukit Aman dan sedang menunggu arahan lanjut.

“Kita menunggu arahan Bukit Aman, daripada Jabatan Pengurusan, sama ada perlu buka (kertas siasatan) sendiri ataupun tidak, tetapi lazimnya kena bukalah,” katanya kepada FMT.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Bukit Aman Azmi Abu Kassim memberitahu FMT, kertas siasatan ‘tentu’ akan dibuka berhubung kejadian itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.