Kementerian Sumber Asli siasat kematian 4 gajah di Kluang

Kementerian Sumber Asli siasat kematian 4 gajah di Kluang

Siasatan dan pemeriksaan dijalankan bersama Perhilitan, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

elephants
Salah satu bangkai gajah yang ditemukan mati di sebuah kebun buah-buahan di Kahang Timur, Kluang, Johor, Sabtu lepas. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang menyiasat kematian empat ekor gajah dilaporkan di Kluang, Johor, Sabtu lepas.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, siasatan lanjut sedang dilaksanakan dan pemeriksaan serta pemantauan turut dijalankan di sekitar kawasan tersebut.

“Laporan awal mengenal pasti bangkai seekor gajah betina dan tiga ekor gajah jantan yang terlibat adalah daripada kumpulan (Identification–ID) Bandar Tenggara di Hutan Simpan Lenggor, Hutan Simpan Kluang dan Kluang Tambahan; Hutan Simpan Labir; Hutan Simpan Sembrong; dan Taman Negara Endau Rompin.

“Habitat utama (gajah) tersebut dikelilingi oleh kawasan pertanian, perladangan dan penempatan penduduk,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, habitat dan kawasan keliaran gajah penting untuk menampung keperluan populasi gajah kerana kehilangan habitat akibat perubahan guna tanah untuk kegiatan pertanian, penempatan, serta pembangunan boleh mengakibatkan konflik manusia-gajah.

“Konflik manusia dan gajah boleh mengakibatkan kemusnahan tanaman pertanian, kerosakan harta benda, kecederaan dan kehilangan nyawa,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 646 aduan konflik manusia-gajah dilaporkan di Johor sejak 2020 hingga Mei 2024, dengan 292 melibatkan daerah Kluang.

Justeru, Nik Nazmi berkata, pihaknya sentiasa meneruskan usaha menangani isu konflik manusia dengan hidupan liar, namun memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan para pengusaha ladang.

“Saya menggesa para pengusaha ladang supaya lebih prihatin kepada ekosistem sekitar ladang serta melaksanakan amalan pengurusan pertanian yang baik,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan bangkai empat gajah dipercayai mati akibat diracun di sebuah kebun buah-buahan di Kahang Timur, mengundang kemarahan orang ramai.

Pengarah Perhilitan Johor Aminuddin Jamin berkata, pihaknya akan melakukan bedah siasat secara menyeluruh terhadap haiwan berkenaan bagi mengenal pasti punca kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.