Tunai haji tanpa permit: Arab Saudi mula kuat kuasa hukuman

Tunai haji tanpa permit: Arab Saudi mula kuat kuasa hukuman

Pelawat yang didapati melanggar peraturan akan didenda SAR10,000.

Arab Saudi kuat kuasa penalti bagi mereka yang memasuki kawasan larangan tanpa permit haji. (Gambar AP)
RIYADH:
Pihak Keselamatan Awam Arab Saudi mula menguatkuasakan penalti bagi mereka yang melanggar peraturan dengan memasuki kawasan larangan tanpa permit haji iaitu Makkah, wilayah tengah, stesen kereta api Haramain, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan, dan pusat kawalan keselamatan sementara.

Langkah itu berkuat kuasa mulai hari ini, 2 Jun hingga 20 Jun 2024, lapor Saudi Press Agency (SPA).

Menurut pihak keselamatan awam, mana-mana warganegara, pemastautin, dan pelawat yang didapati melanggar peraturan akan didenda SAR10,000.

Selain itu, pemastautin akan dihantar pulang ke negara asal dan dilarang memasuki semula Arab Saudi untuk tempoh tertentu seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

Keselamatan Awam Arab Saudi juga menekankan individu yang melanggar peraturan secara berulang akan didenda dua kali ganda, menegaskan kepentingan mematuhi peraturan haji untuk memastikan tetamu Allah dapat melakukan ibadah dengan selamat, aman, selesa, dan tenang.

Selain itu, individu yang ditahan membawa jemaah tanpa tanpa permit haji akan berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga SAR50,000.

Terdapat juga desakan untuk merampas kenderaan yang digunakan dalam kesalahan itu melalui perintah mahkamah.

Jumlah denda akan digandakan mengikut bilangan jemaah tanpa permit yang dibawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.