Tentera, isteri hamil kembar maut kereta terbabas di Gua Musang

Tentera, isteri hamil kembar maut kereta terbabas di Gua Musang

Kemalangan di KM43 Jalan Gua Musang-Lojing itu turut membabitkan 2 anak mereka, yang cedera.

kemalangan gua musang
Kereta dipandu Ridwan Effendy Yusof, 43, dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tembok longkang tepi jalan, mengorbankan dirinya dan isteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera bersama isterinya yang hamil anak kembar maut, manakala dua anak mereka cedera dalam kemalangan di KM43 Jalan Gua Musang-Lojing hari ini.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian pada 9.35 pagi itu, Ridwan Effendy Yusof, 43, dan isterinya, Suhana Khairudin, 37, meninggal dunia di tempat kejadian setelah tercampak keluar dari kenderaan.

Menurut Sik, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Ridwan Effendy dalam perjalanan dari arah Ipoh menghala ke Gua Musang.

Kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan sebelah kiri lalu merempuh tembok longkang tepi jalan.

Sik berkata, kedua-dua anak pasangan tersebut dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut, lapor Bernama.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau pegawai penyiasat di talian 012-4027283 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Suhaily Khairudin, 49, berkata usia kandungan Suhana kini telah masuk enam bulan dan beliau dijangka bersalin September ini.

Menurutnya, Suhana baru sahaja selesai menjalani prosedur memindahkan air ketuban untuk seorang daripada bayi kembarnya di dalam kandungan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.