
Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, yang mengesahkan perkara itu berkata, keahlian mereka terhenti berkuat kuasa 31 Mei, tarikh akhir untuk menandatangani dan menyerahkan surat tersebut.
“Apabila mereka tak jawab surat itu, tak balas surat arahan parti itu, memang terhenti keahlian. Itu sahaja,” katanya kepada FMT.
Semalam, Presiden Muhyiddin Yassin mengumumkan seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 Adun Bersatu menandatangani surat arahan khusus MPT seperti yang dikehendaki dalam tempoh 14 hari.
Arahan khusus tersebut dikeluarkan susulan tindakan enam Ahli Parlimen menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan seorang Adun Selangor menyokong Menteri Besar Amirudin Shari.
Muhyiddin mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keahlian mereka akan disifatkan terhenti sekiranya gagal mematuhi arahan MPT.
Sebelum ini, semua wakil rakyat Bersatu diberi tempoh untuk menyatakan pendirian. Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dilapor berkata keahlian mereka akan terhenti serta-merta sekiranya gagal membalas surat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
Surat itu dikatakan mengandungi arahan, yang antaranya memaklumkan mereka harus setia kepada parti serta mendukung dasarnya, dan memberitahu kepimpinan Bersatu tidak akan menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan.
Enam Ahli Parlimen Bersatu mengumumkan mereka menyokong pentadbiran Anwar iaitu Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong pentadbiran Amirudin.