Air Sg Kandis warna biru bukan daripada pelepasan kilang, kata JAS Selangor

Air Sg Kandis warna biru bukan daripada pelepasan kilang, kata JAS Selangor

Pengarah JAS Selangor berkata, siasatan pihaknya mendapati pelaku dipercayai membuang bahan berwarna pada waktu malam atau awal pagi.

Aliran air berwarna biru di Sungai Kandis yang dikesan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang semalam. (Gambar Facebook Lembaga Urus Air Selangor)
PETALING JAYA:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor percaya aliran air Sungai Kandis berwarna biru yang dikesan semalam berpunca daripada pembuangan bahan berwarna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata, siasatan JAS mendapati pelaku dipercayai membuang bahan berwarna itu pada waktu malam atau awal pagi.

“Pegawai JAS ke lokasi semalam dan masih dalam siasatan untuk mengesan pelaku.

“Di lokasi terbabit, kita ada menemui kesan tumpahan atau percikan daripada pembuangan bahan berwarna dari ‘hose’.

“Siasatan juga mendapati punca bukan daripada pelepasan kilang-kilang di situ, sebaliknya JAS mengesyaki ada pihak membuang di situ secara ‘one-off’,” katanya menurut Harian Metro.

Media melaporkan kira-kira 12.30 tengah hari semalam, aliran air berwarna biru di Sungai Kandis dikesan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang.

Aziah berkata, sampel sudah diambil semalam untuk menentukan komposisi serta mencari pemadanan, dan sungai itu masih mempunyai kesan warna biru setakat petang semalam.

Katanya, JAS akan terus meningkatkan pemantauan kerana kejadian seperti ini berulang lagi.

“Hari ini, pegawai JAS masih ke lokasi untuk melihat keadaan sungai memandangkan petang semalam hujan lebat di kawasan itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.