Kit Siang cadang Muda gabung dengan DAP

Kit Siang cadang Muda gabung dengan DAP

Veteran DAP berkata beliau kagum idealisme Muda dan calonnya walaupun tumpas semua kerusi ditandingi.

Lim Kit Siang menasihatkan Muda tidak berputus asa susulan keputusan PRN semalam.
PETALING JAYA:
Lim Kit Siang menyeru Muda mempertimbang bergabung dengan DAP susulan kegagalan pada PRN enam negeri.

Muda tewas semua 19 kerusi ditandingi selain calonnya hilang deposit. Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan dicatat partinya.

Lim, veteran DAP berkata walaupun mengalami kekalahan teruk, beliau kagum dengan idealisme dibawa calonnya serta menasihatkan parti tersebut tidak berputus asa.

“…dan saya juga mungkin akan cadang untuk mereka berfikir mengenai kemungkinan untuk bersatu dengan DAP,” katanya dalam kenyataan.

“Saya tidak membuat satu tawaran rasmi dari DAP kerana saya telah bersara dari pimpinan barisan hadapan DAP,” katanya sambil menambah cadangan itu hanya pandangan peribadi.

Bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata terserah kepada pimpinan DAP dan Muda untuk memutuskan mengenai cadangan berkenaan

Keputusan Muda bertanding solo pada PRN semalam menyaksikan parti itu mencabar Pakatan Harapan-Barisan Nasional di 19 kawasan.

Parti berkenaan dikritik di media sosial hari ini dengan warganet menyalahkan Muda kerana menyebabkan perpecahan undi dalam saingan di Sungai Kandis, Selangor, yang mana Perikatan Nasional menang dengan 167 majoriti undi.

Calon PN, Wan Dzahanurin Ahmad meraih 28,926 undi, manakala calon PH, Zawawi Ahmad Mughni mendapat 28,759 undi. Calon Muda Afriena Shaqira pula mendapat 1,341 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.