Rumuskan mekanisme kira pemberian khas bagi Sabah, gesa Salleh

Rumuskan mekanisme kira pemberian khas bagi Sabah, gesa Salleh

Salleh Said Keruak mahu tahu sama ada Putrajaya bersetuju dengan formula yang ditetapkan Perlembagaan.

Bekas ketua menteri Salleh Said Keruak berkata Sabah hanya mendesak diberi bahagiannya seperti yang ditetapkan Perlembagaan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Bekas ketua menteri Sabah, Salleh Said Keruak, menggesa para pegawai kerajaan persekutuan membincangkan dan merumuskan suatu mekanisme untuk mengira jumlah pemberian khas bagi Sabah.

Beliau hari ini berkata rakyat Sabah hanya mendesak diberi bahagiannya daripada hasil cukai bersih seperti yang ditetapkan Perlembagaan, dan tiada kaitan dengan jumlah.

“Adakah kerajaan persekutuan bersetuju dengan formula itu?” katanya kepada FMT. “Jika setuju, maka mereka harus bincang dan rumuskan suatu mekanisme untuk mengira jumlahnya.”

Adun Usukan itu berkata rakyat Sabah hanya mahu Putrajaya menghormati hak negeri mengikut Perlembagaan.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, yang berkata peruntukan persekutuan untuk Sabah bagi tahun ini, yang sebanyak RM16 bilion itu, melebihi tuntutan kerajaan negeri ke atas hasil persekutuan bersih.

Menurut Perlembagaan, Sabah dan Sarawak berhak menerima pemberian khas setiap tahun, yang boleh dikaji semula atas permintaan kerajaan persekutuan atau negeri. Bagi Sabah, perlembagaan menetapkan pemberian bersamaan 40% daripada jumlah yang lebih tinggi daripada hasil bersih yang diperoleh pada 1963.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Jeffrey Kitingan, pada Khamis mengumumkan kerajaan negeri akan membuat pengiraan sendiri, selepas lapan kali meminta Putrajaya memberikan data berkaitan.

Kitingan berkata kerajaan negeri dan persekutuan masih belum capai suatu keputusan berhubung perkara ini, meskipun tarikh akhir untuk menyelesaikan isu tertunggak dalam tempoh setahun semakin hampir.

Awal bulan ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof memberitahu FMT bahawa formula pemberian khas sepatutnya dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, Anwar tekad untuk selesaikan isu tersebut dan mencadangkan peruntukan RM300 juta sebagai langkah interim sementara formula dirumuskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.