
Mereka tiba awal untuk mendapat giliran segera untuk urusan mengimbas pasport, sebelum meneruskan perjalanan keluar.
Tiba di pintu masuk Singapura, mereka perlu sekali lagi mengimbas passport, sebelum memasuki negara itu yang proses itu pastinya memakan masa serta memenatkan.
Namun bermula 1 Jun, urusan mereka yang keluar dari Malaysia dan memasuki Singapura menggunakan perkhidmatan bas dan motosikal dipermudahkan apabila hanya perlu mengimbas kod QR menerusi aplikasi MySejahtera atau MyTrip, tidak lagi passport.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof yakin penggunaan kaedah baharu ini akan memendekkan sehingga 83% waktu perjalanan, selepas ini.
“Tempoh menunggu pengguna bas terminal BSI pada waktu puncak daripada 120 minit kepada 15 minit bersamaan 83% penjimatan masa, manakala tempoh menunggu pengguna motosikal daripada 40 minit kepada 30 minit bersamaan 19% penjimatan masa.
“Sementara tempoh menunggu bas di terminal KSAB pula dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 15 minit bersamaan 74% penjimatan masa dan pengguna motosikal daripada 45 minit kepada 30 minit bersamaan 23% penjimatan masa,” katanya di Facebook.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa menangani kesesakan di Tambak Johor turut melakukan lawatan mengejut ke BSI untuk melihat sendiri proses perjalanan keluar masuk melibatkan dua negara pada 27 Mei lalu.
Fadillah meninjau bahagian ‘autogate’ imigresen, sistem pengimbas kastam dan bahagian motosikal yang begitu sesak dengan lautan manusia berbaris hanya untuk mengimbas pasport mereka.
Bagi menyelesaikan isu terbabit, beliau mengarahkan penubuhan jawatankuasa teknikal dan tempoh menunggu bas di terminal BSI dan KSAB.
“Beberapa perkara perlu ditambah baik terutamanya dari aspek pengurusan bas di mana saya dapati tempoh menunggu yang agak lama iaitu antara 45 ke 90 minit,” tegasnya.

Rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, Ahmad Hakimi Ismail berharap usaha terbaharu kerajaan itu akan memudahkan pergerakan seharian mereka.
“Imbas pasport sebenarnya sekejap saja, tapi kalau orang bersesak panjang, makan masa dan lagi lambatlah kita,” katanya kepada FMT.
Bagi Nor Mazlita Mazlan, yang sudah bertahun-tahun berulang-alik melintasi sempadan sudah lama menunggu inisiatif baharu daripada kerajaan dan mahu teknologi dimanfaatkan sepenuhnya.
“Sekarang semua teknologi, jadi makin senang dan pantas.

“Kami selama ini imbas (passport) ambil masa beratur dan kadang-kadang tersangkut nak masuk sebab terlalu sesak,” katanya keluar rumah awal pagi setiap hari.
Maznah Oyong yang turut mencari rezeki di negara jiran berharap nasibnya serta ribuan lagi pengembara dari Malaysia ke Singapura tidak lagi perlu berbaris panjang setiap hari.
“Kesian pada kami. Permudahkan urusan bekerja di Singapura,” katanya penuh harapan.