Chow digesa jelas pelantikan bapa mentua timbalan

Chow digesa jelas pelantikan bapa mentua timbalan

Setiausaha agung Urimai gesa ketua menteri Pulau Pinang nyatakan sebab bapa mentua Jagdeep Singh dipilih sebagai pengerusi suatu lembaga rayuan.

3man
Satees Muniandy (kiri) mahu Ketua Menteri Chow Kon Yeow jelaskan pelantikan bapa mentua Jagdeep Singh.
PETALING JAYA:
Setiausaha agung Urimai menggesa ketua menteri Pulau Pinang menjelaskan pelantikan bapa mentua timbalannya sebagai pengerusi suatu lembaga rayuan, yang ditubuhkan bawah Enakmen Kebebasan Maklumat.

Satees Muniandy mahu Chow Kon Yeow menyatakan sebab khusus bapa mentua Jagdeep Singh dipilih untuk mengetuai lembaga tersebut.

“Adakah tiada lagi calon yang sesuai di Pulau Pinang, selain daripada ahli keluarga timbalan ketua menteri untuk dilantik sebagai pengerusi Lembaga Rayuan itu? Bukankah ini satu amalan nepotisme?” katanya dalam kenyataan.

Pada Khamis, dilaporkan Dewan Undangan Negeri meluluskan usul bagi melantik enam ahli lembaga berkenaan, termasuk Baldev Singh Gurchan Singh sebagai pengerusi.

Usul yang dikemukakan oleh Jagdeep diluluskan sebulat suara.

Satees berkata meskipun Baldev mungkin seorang peguam berpengalaman, keputusan melantik beliau apabila Jagdeep sedang berkhidmat menunjukkan “betapa hipokritnya” pentadbiran DAP dalam mengamalkan prinsip kompetensi, kebertanggungjawaban, dan ketelusan.

Lembaga tersebut akan meneliti rayuan oleh pihak yang permintaan untuk mendapatkan maklumat ditolak oleh mana-mana jabatan berkaitan negeri.

FMT sedang mendapatkan komen Jagdeep dan Chow.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.