
Presiden Muhyiddin Yassin berkata arahan khusus tersebut selaras dengan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) baru-baru ini.
Pindaan itu susulan tindakan enam Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana semua wakil rakyat Bersatu yang kekal teguh menjunjung obor perjuangan suci parti ini telah berikrar untuk terus setia kepada parti demi membela agama, bangsa dan negara,” kata Muhyiddin dalam kenyataan.
Muhyiddin turut mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keahlian mereka akan disifatkan terhenti sekiranya gagal mematuhi arahan MPT.
“Diperingatkan mengikut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu, ketidakpatuhan wakil rakyat Bersatu terhadap apa-apa arahan yang dikeluarkan MPT adalah disifatkan terhenti keahliannya secara serta-merta,” katanya.
Terdahulu, wakil rakyat Bersatu dilaporkan diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian susulan langkah enam Ahli Parlimen dan seorang Adun menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Menteri Besar Amirudin Shari.
Surat itu dikatakan mengandungi arahan, antaranya memaklumkan mereka harus setia kepada parti serta mendukung dasarnya, dan memberitahu kepimpinan Bersatu tidak akan menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan.
Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, suatu jawatankuasa khas akan membincangkan respons semua wakil rakyat Bersatu, termasuk maklum balas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyokong kerajaan perpaduan.
Difahamkan tujuh wakil rakyat terbabit telah menyerahkan surat pernyataan pendirian masing-masing, namun respons mereka dikatakan tidak memuaskan.
Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan pada Anwar terdiri daripada Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli); Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Sementara itu, Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyatakan sokongan pada pentadbiran Amirudin.