
Dalam kenyataan, Swashna Subramaniam, yang mengetuai nyanyian lagu keagamaan berkata, perhimpunan itu diadakan untuk menunjukkan bahawa upacara sembahyang boleh ‘dilakukan dengan aman tanpa mengundang kontroversi’.
Acara itu dianjurkan bersama oleh Rajeswary Apahu dan sukarelawan Hindu Volunteers Movement.
Ada peserta perhimpunan itu datang dari Kedah dan Singapura, menurut S Shashi Kumar, yang mengetuai Persekutuan Hak Asasi Manusia Global, sebuah NGO tempatan.
Shashi baru-baru ini mengkritik tindakan kontroversi seorang pencipta kandungan YouTube dari Maghribi yang membaca ayat-ayat al-Quran di depan sebuah tugu dewa Hindu di Batu Caves
“Mesti ada sikap saling hormat-menghormati di semua tempat ibadat. Hanya dengan cara itu, kita boleh hidup dengan aman dan harmoni,” katanya.
Abdellatif Ouisa yang telah memohon maaf berkata, beliau menganggap Batu Caves sebuah tapak bersejarah, bukan bersifat keagamaan. Beliau tidak tahu tugu setinggi 42m di Batu Caves itu merupakan Dewa Murugan, katanya.
Bagaimanapun, Shashi menyifatkan permohonan maaf Abdellatif sebagai ‘lemah dan tidak boleh diterima’.
Shashi berkata, terdapat dua lagi kes warga asing membaca ayat al-Quran di Batu Caves, dilihat sebagai ‘serangan’ terhadap golongan bukan Islam.