Tak serah rampasan sisik tenggiling, pegawai kastam kena dakwa

Tak serah rampasan sisik tenggiling, pegawai kastam kena dakwa

Ahmad Hilmi Ghazali didakwa tidak menyerahkan sisik tenggiling yang dirampas kastam kepada Perhilitan pada 2019.

Pegawai kanan Jabatan Kastam Ahmad Hilmi Ghazali mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan tidak menyerahkan rampasan sisik tenggiling kepada Perhilitan pada 2019. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan tidak menyerahkan rampasan sisik tenggiling kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada 2019.

Ahmad Hilmi Ghazali, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Dia didakwa telah mengarahkan seorang pembantu penguasa kanan kastam melupuskan sisik tenggiling spesis Genus Manis SPP daripada Stor Penguatkuasaan Pengkalan Marin Pelabuhan Klang Utara, pada Sept 2019 hingga Dis 2019.

Menurut pertuduhan, sisik tenggiling itu adalah barang kes rampasan kastam dan perlu diserahkan kepada Perhilitan sebagai pihak berkuasa pengurusan yang dilantik di bawah seksyen 6(1) Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun, sebatan dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Azreen Wan Zaid manakala Hilmi diwakili peguam Nor Azri Mohd Arif.

Wan Azreen mencadangkan mahkamah mengenakan jaminan antara RM30,000 hingga RM50,000 dengan mengambil kira nilai barang kes berkenaan yang mencecah jutaan ringgit di pasaran gelap dan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain perlu melapor diri ke Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, Nor Azri memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang tidak berbentuk punitif atas sebab Hilmi mempunyai komitmen yang tinggi selain perlu menanggung dua orang isteri dan empat orang anak yang masih kecil.

Hakim kemudiannya membenarkan Hilmi diikat jamin sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.