Surat wakil rakyat Bersatu diterima, jawatankuasa khas bincang langkah susulan

Surat wakil rakyat Bersatu diterima, jawatankuasa khas bincang langkah susulan

Sebelum ini wakil rakyat Bersatu diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian, susulan enam Ahli Parlimen dan seorang Adun sokong pemimpin parti lawan.

Wan Ahmad Fayhsal
Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata jawatankuasa khas akan memutuskan langkah seterusnya, selepas menerima respons wakil rakyat Bersatu.
KUALA LUMPUR:
Suatu jawatankuasa khas akan membincangkan respons semua wakil rakyat Bersatu kepada surat setiausaha agung parti, termasuk maklum balas enam Ahli Parlimen dan seorang Adun yang menyokong kerajaan perpaduan.

Difahamkan tujuh wakil rakyat terbabit telah menyerahkan surat penyataan pendirian masing-masing kepada Hamzah Zainudin, namun respons mereka dikatakan tidak memuaskan.

Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memaklumkan maklum balas para wakil rakyat akan dibincangkan oleh suatu jawatankuasa khas, yang akan memutuskan langkah susulan.

Beliau enggan mengulas lanjut, kerana tidak diberi mandat untuk berbuat demikian. “Jawatankuasa akan bermesyuarat memutuskan langkah seterusnya,” katanya ringkas kepada FMT.

Sebelum ini, semua wakil rakyat Bersatu diberi tempoh 14 hari untuk menyatakan pendirian, susulan langkah enam Ahli Parlimen dan seorang Adun menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atau Menteri Besar Amirudin Shari.

Hamzah dilapor berkata keahlian mereka akan terhenti serta-merta sekiranya gagal membalas surat tersebut dalam tempoh yang ditetapkan. Tempoh 14 hari itu berakhir hari ini.

Surat itu dikatakan mengandungi arahan, yang antaranya memaklumkan mereka harus setia kepada parti serta mendukung dasarnya, dan memberitahu kepimpinan Bersatu tidak akan menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan.

Enam Ahli Parlimen Bersatu mengumumkan mereka menyokong Anwar iaitu Suhaili Abdul Rahman (Labuan),Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari pula menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.