Subsidi diesel naik 10 kali ganda, apung harga basmi ketirisan

Subsidi diesel naik 10 kali ganda, apung harga basmi ketirisan

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, subsidi diesel RM1.4 bilion yang direkodkan pada 2019 meningkat 10 kali ganda kepada RM14.3 bilion pada 2023.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan berkata, antara faktor peningkatan subsidi diesel ialah jumlah bahan api bersubsidi itu digunakan meningkat kira-kira 70% daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun lepas.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan melaksanakan pengapungan harga diesel susulan penyasaran subsidi bahan api itu sebagai salah satu mekanisme untuk membasmi aktiviti ketirisan yang disifatkan semakin berleluasa kebelakangan ini, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.

Katanya, subsidi diesel sebanyak RM1.4 bilion yang direkodkan pada 2019 meningkat 10 kali ganda kepada RM14.3 bilion tahun lepas, disumbang beberapa faktor.

Beliau berkata, antara faktornya ialah peningkatan jumlah diesel bersubsidi yang digunakan daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter tahun lepas, kenaikan lebih kurang 70%.

“Kalau saya tengok dari segi perkembangan ekonomi, dari segi kenaikan (jumlah) kenderaan diesel dalam negara, saya tidak boleh cari jumlah yang mengisi (kepada kenaikan 70% itu).

“Jadi, kita memahami ada sebab lain kenapa ‘volume’ (kuantiti) diesel naik mendadak sebanyak 70% dan kita rasa sebab kenaikan besar ialah banyak ketirisan berlaku dalam negara,” katanya dalam sesi penerangan bersama editor kanan media di Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menurutnya, perbezaan antara harga runcit diesel pada RM2.15 seliter dan harga pasaran (lebih kurang RM3.50 seliter), juga dilihat peluang untuk sesetengah pihak meraih keuntungan lebih besar.

Tambahan pula, katanya, terdapat perbezaan besar antara harga pasaran bahan api berbanding negara jiran seperti Thailand (RM4.12 seliter), Indonesia (RM4.73) dan Singapura (RM8.87) sehingga membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab memindahkan bahan api berkenaan dari Malaysia ke negara lain.

“Jadi, untuk kita mengurangkan ketirisan, cara paling logik ialah kita apungkan harga. Bila kita (kerajaan) apungkan harga (diesel), perbezaan antara runcit dengan komersial tiada.”

Beliau berkata, apabila jurang harga runcit dan komersial dapat dikurangkan, ia sekali gus menutup ruang bagi mana-mana pihak mengambil kesempatan meraih keuntungan menerusi penjualan diesel bersubsidi.

Ditanya bila mekanisme serta penyasaran subsidi diesel akan dilaksanakan, Amir Hamzah memberi bayangan ia akan dilaksanakan “tahun ini” tanpa mengulas lanjut.

Menurutnya, kerajaan menggunakan pendekatan “whole of government” (pendekatan seluruh kerajaan), iaitu kerjasama erat antara semua kementerian dan agensi kerajaan terlibat bagi menjayakan penyasaran subsidi diesel itu.

Selain mempertingkatkan penguatkuasaan bagi mengatasi masalah ketirisan serta sebarang kegiatan pencatutan harga oleh peniaga untuk mengaut keuntungan melampau, katanya, pelbagai langkah lain perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar ketirisan yang merugikan negara.

“Ketirisan di sempadan misalnya, kerajaan perlu fikirkan idea lebih kreatif, selain tindakan penguatkuasaan. Contohnya, apa yang Singapura buat kepada kita, jika hendak masuk ke Malaysia perlu periksa tangki minyak kenderaan (bernombor plat Singapura) sekurang-kurangnya ada tiga perempat.

“Mungkin kita boleh lakukan perkara sama, tetapi ‘reverse check’ (semakan berbalik) dan banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya sambil menekankan penyasaran subsidi secara pukal hanya akan dinikmati pemilik kenderaan diesel layak.

Pada 21 Mei lepas, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi diesel, yang tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.

Kerajaan juga bersetuju meneruskan pemberian subsidi diesel kepada sektor perniagaan tertentu menggunakan kenderaan komersial diesel, sekali gus mengawal risiko kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.