
Rapid Rail dalam kenyataan berkata rekod itu adalah yang tertinggi sejak penubuhannya pada 2002.
Pada Rabu lalu laluan Kelana Jaya mencatatkan jumlah penumpang sebanyak 287,102 diikuti Ampang/Sri Petaling (224,184), Monorel (61,236), Kajang (274,302) dan Putrajaya (157,767) menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,004,591.
Menurut Rapid Rail, jumlah penumpang itu mencatatkan peningkatan lebih 35% berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya iaitu 739,818.
“Lonjakan ini dipacu beberapa inisiatif seperti proses penambahan kapasiti tren di laluan Kelana Jaya dan Kajang, pembukaan semula perkhidmatan antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya bagi laluan Ampang/Sri Petaling pada 17 Feb lalu akibat kerosakan struktur jejambat, serta pembukaan beberapa lokasi tarikan baru di sepanjang jajaran rel.
“Selain itu beberapa acara berskala besar yang diadakan di sekitar stesen rel dan musim cuti sekolah turut menyumbang kepada peningkatan jumlah penumpang ini,” kata syarikat itu.
Rapid Rail berkata pihaknya bangga kerana sasaran membawa sejuta penumpang sehari berjaya dicapai enam bulan lebih awal daripada jangkaan yang ditetapkan.
“Ini juga bukti sokongan padu khususnya daripada warga Lembah Klang yang setia menggunakan perkhidmatan rel pada setiap hari.
“Segala usaha penambahbaikan yang dilakukan oleh Rapid Rail selama ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memajukan sektor perkhidmatan pengangkutan awam ke tahap lebih baik,” katanya.