PKR bakal pertaruh semula Nurhidayah di Sungai Bakap?

PKR bakal pertaruh semula Nurhidayah di Sungai Bakap?

Sumber PKR Pulau Pinang memberitahu Nurhidayah Che Rose menjadi pilihan utama walaupun tewas di kerusi sama pada PRN Ogos lalu.

Nurhidayah Che Rose dan Dr Amar Pritpal Abdullah antara nama-nama disebut bakal mewakili PH pada PRK Sungai Bakap.
PETALING JAYA:
Ketua Wanita PKR Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose dan Ketua Cabang PKR Nibong Tebal Dr Amar Pritpal Abdullah antara nama disebut-sebut bakal dipertaruhkan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRK Sungai Bakap, kata sumber.

Pemimpin PKR Pulau Pinang yang enggan namanya didedahkan mendakwa Nurhidayah menjadi pilihan utama walaupun tewas di kerusi sama kepada Nor Zamri Abd Latiff dari Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 1,563 undi pada PRN Ogos tahun lalu.

Beliau meninggal dunia akibat keradangan perut Jumaat lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 6 Jun depan, bagi penentuan tarikh penamaan calon serta pengundian.

“Memang nama Nurhidayah di depan sekarang, tetapi ketua cabang Nibong Tebal pun dikatakan berminat…pimpinan PKR sedang mempertimbangkan,” kata sumber itu kepada FMT.

Sebagai rekod Amar Pritpal adalah bekas penyandang kerusi itu dari 2018 hingga 2023, namun digugurkan dan digantikan Nurhidayah pada PRN.

Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang Muhammad Fadzli Roslan berkata tiada isu partinya mahu meletakkan calon ‘kitar semula’ sekiranya memilih Nurhidayah.

“Saya kira soal ketandusan calon bukan masalah utama kerana PKR mempunyai ramai pemimpin untuk bertanding di Sungai Bakap, tak kisah siapa sahaja kami akan berusaha memenangkannya,” katanya.

Beliau juga yakin kerjasama erat komponen kerajaan perpaduan boleh membantu PH merampas kerusi itu daripada PN, mengambil kira kemenangan pada PRK sebelum ini termasuk di Kuala Kubu Baharu.

Sungai Bakap terletak di bawah Parlimen Nibong Tebal yang turut meliputi DUN Jawi dan Sungai Acheh, masing-masing dikuasai PH dan BN.

Berdasarkan rekod SPR untuk PRN 2023, kerusi itu mempunyai 38,409 pemilih dengan 59.36% (Melayu), 22.54% (Cina), 17.39% (India) dan 0.71% lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.