
Peguam Zaid Malek, yang mewakili balu Balamurugan iaitu Natthanan Yoochomsuk dan saudara lelaki mendiang S Balraj selaku plaintif, memberitahu pemberita bahawa Hakim Su Tiang Joo memberikan RM100,000 sebagai ganti am, RM200,000 sebagai ganti rugi teruk, RM16,000 sebagai ganti rugi khas, dan RM22,000 sebagai kos.
Pada 30 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan polis serta kerajaan bertanggungjawab atas kematian Balamurugan dan memerintahkan jumlah ganti rugi ditaksir secara berasingan, lapor Bernama.
Plaintif telah memfailkan saman pada 7 Feb 2020 terhadap polis dan kerajaan atas dakwaan cuai, mengancam, dan melakukan serangan fizikal, pemenjaraan salah serta melanggar kewajipan berkanun bagi kematian Balamurugan pada 8 Feb 2017 ketika dalam tahanan di IPD Klang Utara.
Mendiang ditemukan dengan 20 tanda kecederaan dan pakar patologi mengesahkan punca kematiannya adalah disebabkan oleh penyakit arteri koronari dengan pelbagai kecederaan akibat objek tumpul.
Menerusi saman itu, kedua-dua plaintif menamakan empat pegawai polis, ketua polis negara, dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Keluarga mendiang turut diwakili peguam Nabila Khairuddin, manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan Afiq Nazrin Zaharinan mewakili semua defendan.