Program perantis IWK bantu perkasa ilmu graduan tentang alam sekitar

Program perantis IWK bantu perkasa ilmu graduan tentang alam sekitar

Program yang ditawarkan kepada graduan tempatan itu akan dijalankan secara percuma pada Julai.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof hadir sambutan ulang tahun Indah Water Konsortium Sdn Bhd ke-30 di IWK Eco Park, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Syarikat perkhidmatan pembetungan terbesar negara, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, menawarkan program pemerkasaan ilmu berkaitan kelestarian alam sekitar kepada graduan tempatan sempena sambutan ulang tahunnya ke-30.

Program ‘Perantis IWK’ itu akan dijalankan pada Julai secara percuma. kata pengerusinya, Ahmad Johnie Zawawi.

“Program ini menawarkan pengalaman pembelajaran unik bagi membina pembangunan insaniah khusus untuk graduan muda tempatan atau siswazah tahun akhir,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun IWK Ke-30 di IWK Eco Park, Pantai Dalam, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

“Selain memperkasakan golongan belia, program ini diyakini mampu mendorong mereka ke arah kemampanan dengan menyediakan kemahiran insaniah dan nilai-nilai kepimpinan, di samping belajar mencipta kempen media sosial yang berkesan.

Ahmad Johnie Zawawi
Pengerusi IWK Ahmad Johnie Zawawi berkata program ‘Perantis IWK’ akan bermula Julai depan secara percuma.

Beliau berkata, program itu turut dikendalikan dengan kerjasama NK Communications Ltd, sebuah organisasi latihan komunikasi berpangkalan di Dublin, Ireland.

Ahmad Johnie berkata, peserta program itu berpeluang bersaing merebut tiga hadiah berupa wang tunai bernilai RM1, 000 seorang, serta peluang pekerjaan atau latihan industri di IWK.

“Mereka akan menjalani latihan kemahiran insaniah yang komprehensif daripada golongan profesional berpengalaman, di samping mendapat pengalaman di IWK, menangani cabaran secara berpasukan di IWK Eco Park, dan akan dinilai oleh panel penilai di akhir program,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, sambutan ulang tahun ke-30 IWK satu mercu tanda penting dalam industri pembetungan negara, mengambil kira keberkesanan IWK mengurus dan menyelenggara air sisa kumbahan secara inovatif.

“Bukan sahaja mempelopori model ekonomi kitaran, IWK turut melakukan inisiatif penggunaan semula bio-pepejal sebagai baja organik serta tenaga solar PV (fotovoltan) yang boleh diperbaharu,” katanya.

Bulan lepas, IWK dilaporkan menerima pengiktirafan sebagai salah satu daripada empat peneraju utama dalam ‘Sustainable Development Goal 6 Pledge (SDG6)’ sempena Persidangan Air Global 2024 di London, United Kingdom.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.