Israel sertai latihan ketenteraan di Hawaii, NGO seru kerajaan tarik diri

Israel sertai latihan ketenteraan di Hawaii, NGO seru kerajaan tarik diri

15 kumpulan pro-Palestin berkata Israel secara terang-terangan tidak hirau keputusan ICJ dalam konflik di Timur Tengah.

KD LEKIU
KD Lekiu dijangka turut terlibat dalam latihan ketenteraan maritim antarabangsa (Rimpac 2024). (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kumpulan NGO pro-Palestin mendesak kerajaan menarik diri menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa (Rimpac 2024) – memandangkan ada penyertaan Israel.

Frigat peluru berpandu Malaysia, KD Lekiu, dijangka terlibat dalam latihan tersebut.

Rimpac 2024 akan berlangsung di sekitar Kepulauan Hawaii dari 26 Jun hingga 2 Ogos, dan dihoskan Komander Amerika Syarikat Pasifik Armada.

“Kami menyeru kerajaan Malaysia untuk segera menarik diri daripada latihan ketenteraan Rimpac 2024 bagi membantah penyertaan tentera Israel dalam latihan itu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Israel secara terang-terangan tidak menghiraukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Januari dan Mac, termasuk resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa gencatan senjata.

“Pada 24 Mei, ICJ secara eksplisit mengarahkan Israel menghentikan serangannya terhadap Rafah. Namun, pemimpin kerajaan dan pembangkang Israel, selaras dengan tingkah laku negara penyangak dan samseng telah secara mencemuh menolak keputusan ICJ,” katanya.

Kumpulan itu melibatkan 15 NGO, termasuk BDS Malaysia, Forum Profesional Muslim, Muslim Care Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Quds Malaysia, dan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (Centhra).

29 negara dijangka mengambil bahagian pada Rimpac 2024. Ia merangkumi 40 kapal, tiga kapal selam, tentera darat dari 14 negara, dan lebih 150 pesawat.

Rimpac 2024 merupakan edisi latihan ke-29 sejak ia bermula pada 1971. Ia juga terkenal sebagai latihan maritim terbesar dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.