
Zeti, saksi ke-46 pendakwaan pada perbicaraan 1MDB Najib Razak, ditanya mengenai percanggahan antara kenyataannya dengan kenyataan Ashok mengenai pertemuan mereka untuk membincangkan pembukaan akaun Ambank Najib.
Ashok sebelum ini berkata, beliau menghantar beberapa surat kepada Zeti untuk memaklumkannya mengenai dana yang masuk ke akaun Najib, didakwa dari Arab Saudi.
Bagaimanapun, ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib hari ini, Zeti menafikan menerima maklumat itu.
“(Ashok) mahu menutup kesalahannya ketika menjadi CEO,” katanya ketika diperiksa semula oleh Akram, lapor The Star.
Zeti berkata, AmBank tidak melakukan usaha wajar berhubung pelbagai transaksi melibatkan 1MDB, serta transaksi palsu melibatkan Good Star Ltd, syarikat milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.
Zeti menegaskan, ketika Ashok menjadi CEO, AmBank dikenakan kompaun terbesar dalam sejarah perbankan Malaysia, iaitu denda sebanyak RM53.7 juta pada 2015.
Ashok, dipercayai warga Australia, menyertai AmBank pada 2007 sebagai ketua pegawai kewangan sebelum dinaikkan pangkat menjadi CEO lima tahun kemudian. Pada Januari 2015, beliau meletak jawatan sebagai pengarah urusan kumpulan bank itu.
Najib sedang dibicarakan atas empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dipercayai dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Selepas 235 hari membentangkan kes dan memanggil 50 saksi, pihak pendakwaan hari ini menutup kesnya dalam perbicaraan Najib.