
Pada sidang media, S Dayalan berkata doktor hospital berkenaan memaklumkan ibu bapa bahawa anak mereka tidak dapat kembali ke sekolah kerana ‘keadaan saraf’ dialami akibat serangan haba.
“Ibu bapa kena isi borang disediakan pihak hospital untuk anak mereka untuk disahkan sebagai OKU, dan esok mereka akan mengadakan janji temu dengan doktor untuk menandatangani surat itu,” katanya.
“Mereka akan membawa surat itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan kad OKU.”
Dayalan juga menyuarakan kekecewaan terhadap guru besar sekolah kerana mengeluarkan surat amaran kepada pelajar itu kerana tidak hadir kelas, ketika menerima rawatan.
Ibu bapa, AD Mogahana Selvi, 34, dan B Suresh, 40, termasuk peguam mereka, Dinesh Muthal, juga hadir pada sidang media tersebut.
“Menyakitkan bagi tidak lagi dapat melihat dia suka bermain dan riang seperti sebelum ini,” kata Mogahana, yang kini hamil tiga bulan.
Katanya, anaknya itu sekarang memencilkan diri daripada keluarga dan menggumam sendirian.
Sebelum ini, FMT melaporkan kanak-kanak itu diarah berdiri di tengah padang sekolah di bawah terik matahari dari 10 pagi hingga 12.50 tengah hari.
Mogahana berkata, mata anaknya kemerahan apabila pulang ke rumah dan memberitahu ibunya dia tidak sihat. Ibunya kemudian segera membawanya ke hospital di mana kanak-kanak itu pengsan di Jabatan Kecemasan.
Mogahana mendakwa anaknya didenda selepas mengadu kepada guru seorang rakan sekelas membaling botol ke arahnya.
Sabtu lalu, Ketua Polis Ampang Azam Ismail berkata, polis telah melengkapkan siasatan melibatkan kanak-kanak berusia 11 tahun itu, yang turut didenda bersama tiga pelajar lain oleh guru mereka.
Azam berkata, siasatan mendapati kanak-kanak lelaki itu mengalami ‘keletihan haba’, sambil menambah kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan lanjut.
Dayalan berkata, dia telah memfailkan aduan bagi mempercepat siasatan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, namun mendakwa dimaklumkan pegawai penyiasat bahawa guru terbabit yang mendenda anak mereka tidak ditahan kerana bertugas sebagai penjawat awam.
Dalam pada itu, Dinesh berkata pihak keluarga merancang kemuka saman terhadap pihak sekolah susulan kejadian menimpa kanak-kanak berkenaan.