
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han, menambah Asia Mobiliti dan BadanBas Coach Sdn Bhd dilibatkan dalam proses pembuktian konsep ‘bus-on-demand’ di Selangor, bagi tempoh hanya selama sembilan bulan dari November 2023 hingga Julai 2024.
Penerangan oleh exco itu bagi menjelaskan beberapa “silap faham” dan “pandangan yang memesong daripada fakta” berhubung penglibatan syarikat terbabit, susulan kontroversi sekitar pemberian projek kepada syarikat yang dikaitkan dengan suami menteri.
“Merujuk kepada persoalan mengapa Ram Ramachandaran yang merupakan suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, diberikan kontrak kerajaan negeri, penting untuk dinyatakan penilaian oleh jawatankuasa dibuat berdasarkan kemampuan syarikat yang telah melepasi saringan awal oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kemudiannya diberikan kelulusan menyertai pembuktian konsep,” kata Ng dalam kenyataan.
Dalam kenyataan terdahulu, Ng mengumumkan Asia Mobiliti dan BadanBas terpilih untuk sistem ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT) bagi menyediakan perkhidmatan pengangkutan perbatuan pertama dan terakhir di Selangor, selepas pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT dan pengalaman mereka melaksanakan pembuktian konsep.
Ng hari ini menerangkan bahawa apabila proses pembuktian konsep dimulakan, hanya Asia Mobiliti dan BadanBas diberikan lesen untuk menyertai pembuktian konsep oleh APAD.
Menurut beliau, APAD menetapkan syarikat yang menyertai pembuktian konsep itu harus menepati piawaiannya, mempunyai armada bas mini ataupun van sendiri, had usia kenderaan yang tidak melebihi 10 tahun, pemandu mempunyai lesen kelas D yang sah, serta bebas daripada senarai hitam Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis.
“Berdasarkan maklumat ini, jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri mengambil keputusan untuk melibatkan kedua-dua syarikat dalam proses pembuktian konsep secara sama rata supaya satu syarikat tidak memonopoli proses pengujian ini,” katanya.
BadanBas diasaskan oleh Nadzmi Mohd Salleh, seorang tokoh perniagaan Melayu yang berpengalaman dalam industri itu, menurut Ng.
“Peruntukan yang disalurkan kepada kedua-dua syarikat untuk memberikan subsidi kepada setiap pengguna yang menaiki ‘bus-on-demand’ adalah sama rata, iaitu RM2.1 juta bagi sepanjang tempoh pembuktian konsep,” katanya, dan menambah bayaran dibuat secara berperingkat melalui tiga fasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan peruntukan negeri.
“Awal bulan ini, kerajaan negeri juga menerima cadangan daripada satu lagi syarikat yang berhasrat terlibat sama dalam proses tersebut, iaitu Kumpool Sdn Bhd yang menerima kelulusan daripada APAD untuk menyertai pembuktian konsep.”
Ng menambah kerajaan negeri yakin proses penilaian RFP dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat berkenaan dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh, serta menepati syarat dan garis panduan undang-undang sedia ada.
Tegasnya, pentadbiran Amirudin Shari “bersedia membentangkan keseluruhan proses penilaian ini kepada pihak berkuasa sebagai komitmen ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri terutamanya dalam perkara yang melibatkan perbelanjaan peruntukan negeri.”
Sebelum ini, Pemuda PAS Selangor mahu Amirudin menjelaskan mengapa kerajaan negeri memberikan projek berkenaan tanpa melalui tender terbuka, serta mendakwa penjelasan oleh Ng mengenai pemberian itu menunjukkan ‘ianya (melalui) runding terus’.
Ketuanya, Sukri Omar mengingatkan bahawa antara janji Pakatan Harapan adalah memastikan hanya tender terbuka dan RFP sahaja akan dilaksanakan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagaimanapun berkata ia tidak akan siasat kemungkinan ‘konflik kepentingan’ dalam pelantikan syarikat terbabit, kerana ia bukan suatu kesalahan.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki menjelaskan bahawa Yeoh tiada kaitan dengan kerajaan Selangor, yang memberikan kontrak itu.
Asia Mobiliti turut mempertahankan pelibatannya, mengatakan ia antara hanya dua syarikat di negara ini yang layak untuk menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan itu.
Menurutnya lagi, tender terbuka untuk proses pelantikan program Mobility Selangor akan mencipta satu monopoli di negeri ini, memandangkan ia “perkhidmatan baharu yang amat khusus”.