
Menurut sumber, pengarah syarikat berumur dalam lingkungan 40an terbabit ditahan semalam ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Perak.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai membayar wang rasuah kepada seorang penjawat awam yang bekerja di pejabat tanah di sebuah negeri di utara tanah air.
“Wang tersebut bertujuan mengubah status tanah rizab Melayu berkeluasan 650 hektar kepada bukan rizab Melayu. Tanah itu kemudiannya dipecah sempadan dan dipindahkan kepada syarikat dan individu bukan Melayu,” katanya.
Katanya, Mahkamah Majistret Ipoh membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Penahanan itu dipercayai susulan tangkapan terhadap bekas timbalan pendaftar hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian Perak yang sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh, bulan lalu.
Rosli Che Mohamed dituduh menipu agensi kerajaan negeri sehingga menyebabkan pemecahan lot tanah Rizab Melayu membabitkan kawasan seluas 649.2 hektar di Sitiawan, kira-kira 12 tahun lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut.