Semak subsidi minyak masak, LPG cegah tiris, gesa penganalisis

Semak subsidi minyak masak, LPG cegah tiris, gesa penganalisis

Penganalisis ekonomi berkata penjimatan daripada perbelanjaan menjurus ketirisan, boleh digunakan untuk pelaburan masa depan.

minyak masak
Minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 boleh dibeli sesiapa sahaja di pasaran terbuka.
PETALING JAYA:
Penyasaran subsidi diesel menjadi penanda aras komitmen kerajaan menyusun semula pemberian bantuan supaya perbelanjaan lebih berhemah dan memanfaatkan golongan sasar untuk jangka panjang, kata ahli akademik.

Susulan itu, mereka berpandangan selepas ini kerajaan wajar menyemak subsidi minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG) yang didakwa berlaku banyak penyalahgunaan oleh industri, bukan dinikmati golongan berpendapatan bawah.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan bertindak tepat memperkenalkan penyasaran subsidi memandangkan kebanyakan negara tidak lagi menggunakan pendekatan subsidi pukal kerana tidak cekap, menguntungkan golongan ‘maha kaya’ dan terdedah ketirisan.

“Ini kerana subsidi pukal menyebabkan banyak perbelanjaan kerajaan pergi kepada mereka yang tidak layak menerimanya seperti warga asing dan T20. Ia juga boleh menyebabkan berlakunya ketirisan, pembaziran dan penyeludupan.

“Perbelanjaan kerajaan perlu dikurangkan bagi memastikan negara mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi pelaburan masa depan,” katanya kepada FMT.

Sekiranya pelaksanaan penyasaran subsidi diesel lancar, Razmen mencadangkan kerajaan menyemak semula minyak masak bersubsidi yang kini boleh dibeli secara terbuka dengan harga RM2.50 sepeket.

“Jika tidak kerajaan akan terus menanggung kerugian,” katanya.

Bagi penganalisis ekonomi Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, selain diesel dan minyak masak, kerajaan juga perlu segera melaksanakan penyasaran subsidi bagi LPG yang didakwanya banyak penyalahgunaan oleh industri-industri.

“Subsidi yang diberikan kepada rakyat Malaysia sekarang diberikan secara pukal kepada sesiapa sahaja yang menjadi penduduk Malaysia sama ada pelancong, pekerja asing tidak mengira jumlah pendapatan keluarga, miskin dan kaya.

“Kesannya apabila penduduk negara bertambah, maka jumlah subsidi pukal meningkat naik, sehinggakan kerajaan terpaksa membelanjakan wang yang banyak setiap tahun sehingga membebankan kewangan negara,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan penyasaran subsidi bahan api mendapat persetujuan Jemaah Menteri dan akan bermula dengan diesel di Semenanjung,-langkah dijangka menjimatkan RM4 bilion setahun untuk membantu golongan sasar, selain menyusun semula struktur kewangan awam.

Beliau yang juga menteri kewangan turut mengumumkan langkah membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan dengan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Insentif itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.