
Ketuanya, Dr Akmal Saleh bagaimanapun berkata, isu peremajaan parti bukan berasaskan usia semata-mata, sebaliknya mesti mengikut ‘selera rakyat’ yang mahukan parti ditambah baik.
“Perubahan dari segi kepimpinan, kita tak nafikan (perlu), tetapi apa jauh lebih penting adalah bagaimana parti ini perlu berubah mengikut apa yang diperlukan rakyat.
“Kurangkan birokrasi dan jika rakyat mahu pemimpin yang sentiasa dengan rakyat, serta ada integriti, ini jadi faktor untuk perubahan,” katanya kepada FMT.
Menyatakan bahawa beliau menghargai dan bersetuju dengan cadangan Tengku Razaleigh, Akmal menambah, parti itu juga harus mengubah mentaliti tatacara kerja dan lebih mendekati rakyat.
Isnin lepas, Tengku Razaleigh yang juga penasihat Umno memberikan amaran, parti itu akan musnah jika kepimpinan sedia ada gagal menjajarkan parti dengan kehendak majoriti orang Melayu.
Bagaimanapun, katanya, masih ada harapan untuk Umno jika pemimpin sedia ada memberikan ruang kepada pemimpin baharu yang lebih muda.
Umno berusaha meraih semula sokongan orang Melayu berikutan prestasi mengecewakan pada PRU 2022 dan PRN berikutnya.
Menurut pemimpin parti, pengundi Melayu marah dengan Umno kerana menyimpang daripada prinsip asal apabila bekerjasama dengan seteru lamanya, Pakatan Harapan (PH).