
Didakwa bersama, Chin Khiam Kong, 54, dan Suhairon Abdullah, 42, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mereka didakwa bersetuju menerima rasuah RM1 juta daripada Khoo Zixian sebagai dorongan bagi membantu menutup siasatan jenayah.
Kejadian didakwa berlaku di bilik mesyuarat Bahagian Siasatan Perakaunan Forensik/Mata Wang Kripto JSJK di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, pada tengah hari 8 April lepas.
Mereka juga didakwa menerima wang itu daripada Khoo di tempat letak kenderaan Menara KPJ pada 4 petang hari yang sama.
Kedua-dua tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda maksimum sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Secara berasingan, Chin, seorang penolong pesuruhjaya polis, didakwa bersetuju menerima rasuah RM250,000 daripada Khoo bagi membantu menutup siasatan jenayah membabitkan kesalahan komersial bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JSJK sekitar tengah hari 18 April.
Dia juga dituduh menerima suapan daripada Khoo di tempat letak kenderaan di belakang Menara KPJ antara 10.30 pagi dan 1 tengah hari keesokan harinya.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM.
Hakim menetapkan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi setiap defendan dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport sehingga kes selesai.
Sebutan kes ditetapkan pada 30 Julai.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Faisal Syed Amir dan Mustaffa P Kunyalam tampil untuk pendakwaan, manakala Chin dan Suhairon masing-masing diwakili oleh Jacky Loi dan Ridha Abdah Subri.