
Beliau berkata, buat masa ini purata masa menyeberang sempadan Malaysia dan Singapura antara 30 minit hingga sejam.
“Bagi mereka yang bekerja di Singapura, mereka terpaksa keluar seawal 4 pagi. Kalau dapat jimatkan masa, mereka boleh keluar 4.30 pagi, kalau 5 pagi lebih baik, mereka ada masa berkualiti, ada banyak masa berehat.
“Secara purata jimatkan 50% waktu perjalanan. Sekarang ini puratanya sejam, ada setengah jam bergantung kepada trafik,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Air Larian Hujan.
Semalam, Fadillah mengumumkan penggunaan kod QR di kaunter pelepasan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Iskandar Puteri akan dilaksanakan mulai 1 Jun ini.
Bagi tempoh percubaan selama tiga bulan, katanya, kaedah kod QR akan dibuka kepada pengguna bas di BSI dan penunggang motosikal laluan M-Bike di KSAB sama ada menggunakan aplikasi MySejahtera atau memuat turun aplikasi MyTrip dan MyDigital ID.
Fadillah berkata, pengenalan kod QR itu bermakna rakyat tidak lagi perlu mengemukakan pasport untuk ke Singapura dan tiga sistem itu sedang melalui fasa pengujian bagi penumpang bas serta penunggang motosikal.
“Kod QR ini akan digunakan untuk rakyat Malaysia dahulu, terbukti baik baru buka untuk warganegara lain.”
Dianggarkan kira-kira 398,000 orang berulang-alik antara Singapura dan Malaysia setiap hari.
Statistik 2023 menunjukkan 116 juta pengembara direkodkan melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di BSI dan KSAB, manakala 53.8 juta pengembara dicatatkan sejak Januari lalu sehingga 15 Mei lalu.