Tender terbuka perkhidmatan DRT akan cipta monopoli, kata Asia Mobiliti

Tender terbuka perkhidmatan DRT akan cipta monopoli, kata Asia Mobiliti

Syarikat itu mempertahankan pelantikan sebagai salah satu dari dua firma yang dipilih dalam program Selangor Mobility.

amirudin shar
Asia Mobiliti mendakwa ia satu-satunya syarikat memiliki sistem buatan tempatan yang direka dan dibangunkan sebagai sebahagian aplikasi Trek. (Gambar Asia Mobiliti)
PETALING JAYA:
Asia Mobiliti Technologies Sdn Bhd mempertahankan pelibatan dalam perkhidmatan ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT) kerajaan Selangor dan berkata hanya dua syarikat di negara ini yang layak untuk menyediakan perkhidmatan yang ditawarkan itu.

Asia Mobiliti dalam kenyataan berkata tender terbuka untuk proses pelantikan program Mobility Selangor akan mencipta satu monopoli di negeri ini, memandangkan ia “perkhidmatan baharu yang amat khusus”.

Katanya, keadaan itu “akan menyekat daya saing dan merompak peluang negeri untuk merintis perkhidmatan itu di dunia sebenar serta menilai prestasi penyedia perkhidmatan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya.

Sebelum ini, timbul persoalan berhubung proses tender memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti, Ramachandran Muniandy, adalah suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Asia Mobiliti salah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk menyediakan pengangkutan awam bagi perbatuan pertama dan terakhir di Selangor.

Pada Jumaat, Exco Pelaburan, Perdagangan, dan Mobiliti, Ng Sze Han, berkata Asia Mobiliti dan BadanBas Coach terpilih untuk mengendalikan sistem itu selepas pembentangan kepada Jawatankuasa Pelaksanaan Projek Rintis DRT dan pengalaman mereka melaksanakan pembuktian konsep.

Asia Mobiliti berkata selaku perintis DRT di Malaysia dengan aplikasi Trek Rides, ia menjalankan secara persendirian projek rintis perkhidmatan tersebut di Petaling Jaya pada Sept 2021, untuk pemegang taruh dan klien yang berkenaan, yang menurutnya dilaporkan secara meluas ketika itu.

Katanya lagi, ia yang pertama mendapat lesen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk mengendalikan perkhidmatan ‘bus-on-demand’ pada Disember 2022, dan satu-satunya syarikat memiliki sistem buatan tempatan yang direka dan dibangunkan sebagai sebahagian aplikasi Trek.

Asia Mobiliti juga menyatakan pelantikan itu hanya untuk tempoh sembilan bulan.

“Kami sering membida tender dan seperti perniagaan lain yang berdaya saing, ada sebahagiannya kami berjaya dan ada yang tidak.

“Sebagai sebuah perniagaan yang amat telus dan beretika, cerminan daripada nilai-nilai peribadi pengasas bersama kami, kami amat membenci amalan pakatan sulit dan anti persaingan oleh mana-mana pihak, terutama agensi kerajaan atau syarikat,” katanya.

Katanya, ia memandang serius tuduhan yang dilemparkan baru-baru ini dan akan mempertimbangkan pilihan undang-undang yang ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.