Rashid dakwa Bersatu ‘langgar’ perlembagaan, terima ahli bukan pribumi

Rashid dakwa Bersatu ‘langgar’ perlembagaan, terima ahli bukan pribumi

Abdul Rashid Asari dakwa Bersatu boleh dihadapkan ke mahkamah kerana gagal mendapatkan kelulusan JPPM sebelum membuat pindaan perlembagaan.

Abdul Rashid Asari
Abdul Rashid Asari turut mempersoalkan keabsahan arahan bertulis MPT Bersatu yang meminta semua wakil rakyatnya menjawab ‘surat arahan’ dalam 14 hari, antara lain mengarahkan mereka tidak menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Selepas 11 hari, Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari membalas ‘surat arahan’ daripada Bersatu namun tidak menyatakan sama ada akan menarik balik sokongan kepada kerajaan perpaduan seperti diminta.

Beliau sebaliknya mempersoalkan keabsahan arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan meminta Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin memberikan butiran lanjut antaranya lokasi, tarikh, kehadiran dan salinan minit mesyuarat.

Dalam surat jawapan Rashid dilihat FMT, bekas ketua Bersatu Selangor itu mendakwa parti itu telah melanggar perlembagaannya kerana menerima keahlian dua MPT iaitu Adun Kuang Mohd Rafiq Abdullah (Selangor) dan Adun Lepar Mohd Yazid Mohd Yunus (Pahang) yang didakwanya bukan dari kaum pribumi Malaysia.

Berdasarkan Fasal 7.3 Perlembagaan Bersatu pada 2019, ahli biasa harus pribumi warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Dakwanya, Rafiq dari kaum India Muslim manakala Yazid pula Punjabi, yang menurut Rashid tidak termasuk dalam takrifan pribumi iaitu orang Melayu dan Bumiputera termasuk Orang Asal dan anak negeri Sabah serta Sarawak, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Negeri dan undang-undang.

“Jelas keahlian mereka tidak sah sebagai ahli biasa dan ahli MPT Bersatu juga tidak sah dari awal pelantikan,” katanya dalam surat dihantar kepada Hamzah hari ini.

Rashid turut mendakwa pindaan Fasal 7 itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat MPT dan diluar pengetahuannya selain tidak pernah dibentang dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan mesyuarat agung tahunan (AGM).

Sebaliknya, pindaan dibuat tiga tahun lalu itu dakwanya telah dibincangkan secara senyap-senyap dengan penambahan klausa atau ‘warganegara Malaysia beragama Islam’ yang dikatakan tidak mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Dan tidak pernah dibincangkan sebagai salah satu agenda dalam mana-mana mesyuarat MPT, EGM atau AGM.

“Kegagalan Bersatu mendapatkan kelulusan daripada ROS (JPPM) sebelum membuat pindaan perlembagaan boleh menyebabkan Bersatu dihadapkan ke mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 (1) Akta Pertubuhan 1966,” tulis Rashid.

Sehubungan itu, Rashid meminta penjelasan Bersatu bagi ‘memudahkannya’ menjawab semua surat bersama arahan MPT Bersatu bertarikh 17 Mei.

Rashid yang dihubungi mengesahkan isi kandungan surat terbabit.

FMT turut menghubungi Ketua Pengarah JPPM Mohd Zulfikar Ahmad untuk mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan Rashid itu.

Pada 17 Mei lalu, Hamzah berkata wakil rakyatnya termasuk enam Ahli Parlimen dan seorang Adun berpaling tadah diberi tempoh 14 hari menjawab ‘surat arahan’, antara lain mengarahkan mereka tidak menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim serta kerajaan perpaduan baik di pusat dan negeri.

Selain Rashid yang menyokong kerajaan Selangor, enam Ahli Parlimen menyokong Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kegagalan mereka menjawab surat itu boleh menyebabkan keahlian terlucut dan perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada PRK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.