Penyelesaian isu program laluan selari dijangka dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang

Penyelesaian isu program laluan selari dijangka dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata pihaknya mahu suatu penyelesaian secara menyeluruh.

zambry abdul kadir
Zambry Abd Kadir turut menegaskan isu lebih utama bukan kemasukan sementara pelajar bukan Bumiputera ke UiTM untuk latihan khusus bidang kardiotoraks, tetapi pengiktirafan Majlis Perubatan Malaysia (MPM). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Penyelesaian kepada isu mengenai program laluan selari (parallel pathway programme) dijangka akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat akan datang, menurut Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir.

Katanya, ia hasil perbincangan bersama Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, dengan pandangan Jabatan Peguam Negara daripada sudut perundangan, “kerana kita mahu suatu penyelesaian secara menyeluruh”.

“Ianya akan dibentangkan nanti dalam sidang Parlimen yang akan datang,” katanya, selepas majlis graduasi program kepimpinan investED, iaitu program siswazah pasaran modal, di Suruhanjaya Sekuriti.

FMT difahamkan penyelesaian itu akan melibatkan pindaan pada Akta Perubatan mengenai program laluan selari, yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia juga akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dahulu sebelum dibentangkan ke Parlimen.

Dalam pada itu, Zambry menegaskan isu lebih utama bukan kemasukan sementara pelajar bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk latihan khusus bidang kardiotoraks, tetapi pengiktirafan Majlis Perubatan Malaysia (MPM).

“Katakan UiTM lepas, MPM bersedia atau tidak untuk untuk menerima doktor-doktor?” katanya. “Tidak adil kalau kita membuat tuduhan kepada UiTM. Isu itu melibatkan MPM.”

Zambry menambah isu ini tidak wajar dijadikan permainan politik kerana rakyat memerlukan khidmat doktor pakar.

Seawal April, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bercadang bertemu KKM dan MPM bagi mencari penyelesaian isu kursus kepakaran tidak diiktiraf oleh universiti tempatan.

Ia susulan sekumpulan doktor tajaan kerajaan membuat keputusan mengambil tindakan undang-undang terhadap MPM.

Enam doktor terbabit – graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang patologi (genetik perubatan) – berusaha mendapatkan semakan kehakiman untuk memaksa MPM mendaftarkan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan agar mereka boleh berkhidmat sebagai pakar di Malaysia.

Pada minggu sebelumnya, Dzulkefly menjangkakan Akta Perubatan dipinda pada sidang Dewan Rakyat Jun ini, bagi membetulkan isu berkaitan dengan pengiktirafan pakar oleh MPM.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia menggesa UiTM mengutamakan kesihatan awam dengan membenarkan buat sementara kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks ketika berlakunya kekurangan pakar.

Bagaimanapun cadangan itu dikritik beberapa pihak, termasuk Majlis Perwakilan Pelajar UiTM. UiTM satu-satunya universiti yang menawarkan program laluan selari dengan kerjasama Institut Jantung Negara dalam bidang kardiotorasik.

Zambry juga berkata kementerian tidak menerima permohonan daripada UiTM untuk membuka program latihan ijazah lanjutan kepakaran itu.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan isu berterusan mengenai program laluan selari akan dibincang Jemaah Menteri pada Rabu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.