
MExUnity yang kali pertama diadakan tahun ini dipengerusikan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang dan dianggotai barisan exco perpaduan negeri dan hal ehwal agama selain Islam.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata, antara perkara utama dibincangkan dalam mesyuarat itu adalah inisiatif pemerkasaan rukun tetangga (RT) sebagai penggerak komuniti progresif, Jelajah Belia Rukun Negara dan Inisiatif Harmoni Madani.
Dalam inisiatif pemerkasaan RT, sekurang-kurangnya 116 RT di seluruh negara dikenal pasti sebagai Model RT Progresif bagi membantu menoktahkan kemiskinan secara berfasa.
“Peranan RT sebagai penggerak, pengantara penting dan penjalin hubungan dalam masyarakat memerlukan lonjakan transformasi melalui landskap pembangunan yang dipacu oleh komuniti.
“Justeru, antara inisiatif kementerian bagi mencapai matlamat ini adalah dengan memperkasakan peranan RT sebagai penggerak komuniti progresif,” menurut kenyataan itu.
Dalam menyemarakkan lagi program Eksplorasi Rukun Negara, kementerian itu bakal melancarkan Jelajah Belia Rukun Negara bermula Julai hingga Disember ini dalam usaha mengukuhkan penghayatan Rukun Negara dalam kehidupan seharian.
Jelajah tersebut antara program Eksplorasi Rukun Negara yang dijadual dilaksanakan di enam zon, iaitu Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Borneo Sarawak dan Zon Borneo Sabah.
“Matlamat utama jelajah ini adalah untuk membentuk kemenjadian belia yang menjiwai Rukun Negara secara holistik demi mencapai masyarakat progresif, di samping mengiktiraf peserta sebagai duta Rukun Negara.”
Inisiatif Harmoni Madani pula bagi menyebarluaskan prinsip asas integrasi nasional, iaitu “Faham”, “Hormat” dan “Terima” khususnya membabitkan isu berkaitan hubungan antara penganut berbilang agama.
“Usaha-usaha yang dibincangkan ini bermatlamat ke arah pencapaian pembudayaan masyarakat Madani yang menjadi aspirasi kerajaan.”
Aaron turut memohon jasa baik semua negeri mempunyai program “signature” perpaduan sendiri yang akan disokong penuh Kementerian Perpaduan Negara.
Beliau mengucapkan syabas atas pelaksanaan Pesta Angin Timur di Perlis, Pertandingan Pidato Rukun Negara di Melaka, Program Gagasan Rumpun Selangor di Selangor, Pertandingan Dikir Barat Perpaduan di Kelantan, Unity Camp Fire di Pahang dan Program Silang Budaya di Johor.