95% kemudahan kesihatan awam kurang tenaga kerja, menurut tinjauan MMA

95% kemudahan kesihatan awam kurang tenaga kerja, menurut tinjauan MMA

Persatuan Perubatan Malaysia berkata 46% daripaa 117 responden di kemudahan kesihatan di seluruh negara berkata mereka memerlukan tambahan 100% tenaga kerja.

hospital crowded
Hampir separuh daripada responden dalam tinjauan oleh Persatuan Perubatan Malaysia berkata kekurangan tenaga kerja berpunca sama ada daripada doktor berhenti atau dipindahkan.
PETALING JAYA:
Kira-kira 95% kemudahan kesihatan awam di seluruh negara sedang bergelut kekurangan tenaga kerja, menurut tinjauan pendapat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Tinjauan Seksyen Doktor Pelatih, Pegawai Perubatan, dan pakar (Schomos) MMA awal bulan lalu mendedahkan bahawa hanya 5% daripada kemudahan kesihatan awam mempunyai staf mencukupi.

Menurut tinjauan membabitkan 117 responden daripada kemudahan kesihatan kerajaan di seluruh negara itu, 32% menyatakan mereka memerlukan tambahan hingga 50% tenaga kerja, sementara 46% lagi berkata memerlukan 100% tambahan.

Hampir separuh dari responden (48.3%) berkata kekurangan adalah berpunca daripada doktor yang berhenti atau dipindahkan, manakala 43.6% berkata terdapat beberapa bentuk kerosakan kemudahan atau peralatan di tempat kerja mereka.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata salah satu punca utama kekurangan tenaga kerja dipercayai akibat perhijrahan cendekiawan, dengan peningkatan mendadak doktor yang berhenti dan tidak menerima jawatan tetap.

Beliau menyeru Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan papan pemuka yang telus untuk menjejaki bilangan pekerja kesihatan secara masa sebenar.

“Unit sumber manusia di Kementerian Kesihatan perlu mengambil serius perkara ini kerana hanya dengan data yang betul kita boleh mengetahui sejauh mana kekurangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mac, Kementerian Kesihatan melaporkan sejumlah 3,064 doktor kontrak berhenti dalam tempoh tiga tahun terakhir, dengan 1,354 meninggalkan perkhidmatan pada 2022 sahaja.

Antara sebab yang dinyatakan oleh doktor muda termasuk tawaran yang lebih baik di sektor swasta dan universiti awam, masalah peribadi dan masalah kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.