Polis rayu rakyat muat turun aplikasi VSP, kini butang SOS tersedia

Polis rayu rakyat muat turun aplikasi VSP, kini butang SOS tersedia

Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) kini sedia butang panik bagi tindakan segera polis ketika kecemasan.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata aplikasi itu telah lama diperkenal namun kurang popular. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Polis berharap penduduk di negara ini memasang dan memanfaatkan aplikasi telefon pintar Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang kini ditambah baik ke versi 2.0 sebagai kemudahan kepada masyarakat dalam membantu mencegah jenayah.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad, berkata polis komited memperluas penggunaan VSP kerana penggunaan aplikasi itu kurang popular.

“Aplikasi ini telah lama diperkenal, manfaatkan ia untuk penyaluran aduan dan maklumat yang dilengkapi elemen multimedia seperti gambar, video serta koordinat GPS lokasi kejadian…kita turut wujudkan butang panik iaitu tindakan segera akan diambil oleh anggota polis yang bertugas di lapangan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan karnival pencegahan jenayah dan melancarkan Conferencing Point Pondok Polis Fajar.

Beliau berkata, anggaran masa bagi polis sama ada melalui kekuatan unit kereta peronda (MPV) atau rondaan bermotosikal (URB) mengambil tindakan ialah selewat-lewatnya 12 minit selepas menerima laporan atau aduan daripada VSP.

“Polis mempunyai lebih 3,000 MPV dan 1,800 URB yang bergerak setiap masa untuk membantu menangani masalah jenayah di seluruh negara justeru menerusi platform VSP, kita harapkan masyarakat dapat bersama-sama dengan PDRM membanteras jenayah di negara ini,” katanya.

Wan Hassan juga berkata, polis turut mengalu-alukan kerjasama daripada agensi kerajaan, swasta, dan NGO bagi melaksanakan program bersama dalam mencegah jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.