
Rafizi digantikan oleh setiausaha politik Presiden PKR Anwar Ibrahim, Azman Abidin di Wilayah Persekutuan, dan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh di Johor.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud dilantik sebagai ketua PKR Sabah menggantikan Sangkar Rasam.
Sangkar sebelum ini didesak berundur oleh 15 daripada 26 ketua bahagian di Sabah, namun beliau enggan berbuat demikian, mendorong campur tangan Anwar.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara hidup Fuziah Salleh mengambil alih jawatan ketua PKR Pahang daripada Amirudin Shari.
Amirudin, naib presiden parti, akan terus menerajui Selangor.
Seorang lagi naib presiden parti, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak lagi mengetuai PKR Kelantan dan Terengganu, digantikan masing-masing oleh Suparadi Md Noor dan Ahmad Nazri Yusof.
Kepimpinan negeri lain dikekalkan.
Dalam kenyataan, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil berkata, perubahan kepimpinan negeri ini diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti hari ini.
Pada mesyuarat itu, katanya, pucuk pimpinan parti turut membincangkan tahap kesiapsiagaan jentera bagi menghadapi PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang, yang dijangka diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff daripada PAS, pada Jumaat.