KPKT selesai siasat kes beras rosak dibuang di Temerloh

KPKT selesai siasat kes beras rosak dibuang di Temerloh

Kes itu kini berada dengan Bahagian Undang-Undang kementerian sebelum diserahkan kepada peguam negara, kata timbalan menteri.

buang beras temerloh
Bulan lepas, tular di media sosial timbunan beras, tin sardin dan tepung didapati dibuang di kawasan pembuangan sampah di Kuala Krau, Temerloh, menimbulkan persoalan siapa dalang di sebaliknya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pembuangan beras, sardin dan tepung yang dikatakan rosak di Temerloh pada 18 April lepas.

Menurut timbalan menterinya, Aiman Athirah Sabu, kes itu sudah diserahkan kepada Bahagian Undang-Undang kementerian untuk penilaian keseluruhan.

Katanya, kementerian mahu memastikan segala tindakan yang dilaksanakan lengkap dan pelaku tidak akan terlepas.

“Semua siasatan sudah selesai, lengkap dan keterangan sudah diambil membabitkan antara tujuh hingga sembilan individu untuk tindakan selanjutnya.

“(Kes juga) akan diserahkan kepada peguam negara untuk tindakan seterusnya,” katanya di Kuantan hari ini, lapor Berita Harian.

Bulan lepas, tular di media sosial timbunan beras, tin sardin dan tepung didapati dibuang di kawasan pembuangan sampah berhampiran laluan pintasan Rumpun Makmur-Kampung Gunung Senyum, Kuala Krau, Temerloh, menimbulkan persoalan siapa dalang di sebaliknya.

Kurang 24 jam selepas gambar-gambar barangan tersebut tular, seorang pemimpin Umno tampil memohon maaf dan mengakui bertanggungjawab atas perkara itu.

Ketua Umno Kuala Krau Ismail Mohamed Said menjelaskan, barangan tersebut ialah stok simpanan untuk diberikan kepada orang ramai ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Krau.

Bagaimanapun, Ismail, yang kalah pada PRU15 berkata, barangan yang sudah rosak itu dibeli sebelum pilihan raya menggunakan peruntukan peribadi dan tidak diberikan kepada orang awam ketika kempen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.