
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, ia berlaku kerana kos bagi tujuan berkenaan ‘agak mahal’, selain kerja selenggara pokok perlu dibuat sepanjang masa.
“Cuma saya tidak nafikan ada PBT khususnya majlis daerah yang ada kekangan kewangan kerana kos penyelenggaraan setiap pokok agak mahal.
“Oleh itu, kita akan sentiasa mencari (kaedah sesuai) dengan rakan strategik bersama pihak swasta ataupun wakil rakyat.
“Daripada pihak kementerian pun, kita akan turunkan peruntukan untuk membantu PBT supaya sentiasa dapat menjaga kesihatan pokok ini,” katanya menurut Berita Harian pada sidang media di Shah Alam.
Nga berkata, penjagaan kesihatan dan penyelenggaraan pokok amat penting terutamanya yang sudah berusia.
“Jangan lupa ‘old is gold’…pokok yang berusia lebih 100 tahun, bukan sahaja menjadi aset penting, pokok ini adalah satu daripada khazanah warisan negara kita.
“Contoh terbaik adalah Pokok Hujan di tepi Taman Tasik Taiping, setiap pokok dianggarkan nilai pasaran RM2 juta hingga RM3 juta ..setiap pokok diberikan polisi insurans untuk memastikan pokok itu tidak tumbang,” katanya.
Beliau berkata, Majlis Perbandaran Taiping melantik pakar Universiti Putra Malaysia, di mana pakar berkaitan pokok akan turun setiap tiga bulan untuk beri suntikan vitamin, termasuk memangkas demi memastikan pokok hujan itu kekal segar dan sihat.