Menteri Kewangan II umum perincian mekanisme penyasaran subsidi diesel

Menteri Kewangan II umum perincian mekanisme penyasaran subsidi diesel

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau telah memberi gambaran penyasaran subsidi diesel yang akan ada tindakan susulan.

Selasa lalu, Anwar Ibrahim mengumumkan penyasaran subsidi bahan api mendapat persetujuan Jemaah Menteri dan akan bermula dengan diesel di Semenanjung.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan akan mengumumkan dalam masa terdekat tarikh dan mekanisme pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ada tanya mengapa (tidak diperincikan)? Bukan semua Perdana Menteri lakukan. Saya berikan gambar, kerangka besar, kemudian akan ada tindakan susulan,” kata Anwar yang juga menteri kewangan pada sidang media selepas satu majlis di sini.

Selasa lalu, Anwar mengumumkan penyasaran subsidi bahan api mendapat persetujuan Jemaah Menteri dan akan bermula dengan diesel di Semenanjung yang dijangka dapat menjimatkan RM4 bilion setahun untuk membantu golongan sasar, selain menyusun semula struktur kewangan awam.

Anwar turut mengumumkan langkah membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan dengan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Insentif itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Bagaimanapun ada segelintir pihak mempersoalkan pengumuman itu kerana tidak dinyatakan tarikh dan mekanisme pelaksanaan penyasaan subsidi diesel itu.

Berhubung perkara berasingan, Anwar berkata kerajaan telah mengenal pasti calon menggantikan Abdul Ghani Salleh sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya yang bersara pada 9 Mei lalu.

“Sudah. Beliau akan melalui proses tertentu dah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Menjawab soalan pengganti Mutang Tagal sebagai Speaker Dewan Negara, Anwar berkata beliau akan bertemu pemimpin Sarawak untuk membincangkan perkara itu esok.

Mutang yang dilantik ke jawatan itu pada Februari lalu meninggal dunia pada 10 Mei lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.