‘Siapa nak buat’, pendidik tolak cadangan periksa mental di sekolah

‘Siapa nak buat’, pendidik tolak cadangan periksa mental di sekolah

Sebelum ini seorang pakar psikiatri berpendapat pemeriksaan berkala di sekolah perlu bagi mengatasi peningkatan kes kemurungan membabitkan kanak-kanak dan remaja.

Pakar berkata mekanisme sedia ada sudah cukup untuk menangani isu kesihatan mental membabitkan kanak-kanak dan remaja yang dilaporkan meningkat. (Freepik pic)
PETALING JAYA:
Pakar pendidikan menolak cadangan pemeriksaan kesihatan mental di sekolah dengan menyatakan lebih baik tumpuan diberikan kepada usaha memperluaskan kempen kesedaran bagi memantapkan ilmu pengetahuan ibu bapa dan guru berkaitan isu berkenaan.

Turut dipersoalkan pihak mana akan dipertanggungjawabkan menjalankan pemeriksaan itu memandangkan ‘kemudahan yang ada agak terbatas’.

Hasnah Toran dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, lanjutan perluasan kempen itu golongan terbabit khususnya guru, kemudian boleh menyampaikannya kepada pelajar melalui program kesedaran yang lebih berkesan.

Hasnah Toran.

Katanya, kempen yang dilancarkan juga perlu bersifat praktikal untuk memudahkan pemahaman serta penerapan ilmu berkaitan kesihatan mental.

“Kalau nak buat pemeriksaan, siapa yang akan buat? Kita kena realistik. Staf Kementerian Kesihatan (KKM) di hospital pun ‘kurang’, ada masa ke nak ke sekolah?

“Kita perlukan maklumat mengenai langkah konkrit, ringkas dan praktikal yang boleh ibu bapa mahupun guru jalankan. Jangan asyik cakap tentang teori sahaja,” katanya kepada FMT.

Khamis lalu, Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Andrew Mohanraj, menggesa kerajaan memperkenalkan pemeriksaan kesihatan mental secara berkala di sekolah bagi menangani peningkatan kes membabitkan kanak-kanak serta remaja sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pakar psikiatri itu berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang mendedahkan satu daripada enam kanak-kanak berusia lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental harus menjadi peringatan.

Laporan NHMS diterbitkan 16 Mei lalu juga mendedahkan beban masalah kesihatan mental dilapor meningkat dua kali ganda sejak 2019.

Anuar Ahmad.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Anuar Ahmad, berkata mekanisme sedia ada sudah cukup untuk menangani masalah berkenaan.

“Sebenarnya kita sudah ada Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (Segak) bagi menilai kesihatan fizikal, emosi dan mental murid di semua sekolah.

“Kita juga ada guru kaunseling yang sentiasa memantau emosi dan kesihatan mental murid, cuma perlu pertingkat keberkesanan mekanisme sedia ada. Data kesihatan mental anak-anak kita memang perlu pada usaha yang lebih berkesan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.