
Memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin, berkata beliau yakin ia menjadi tonggak kes pendakwaan walaupun mengetahui terdapat percanggahan melalui tandatangan.
Dalam pemeriksaan balas oleh peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, sakis pendakwaan ke-49 mengakui lima dokumen berkenaan tidak ditunjukkan kepada Najib apabila keterangannya dirakam pada 2018.
Ditanya sama ada terdapat perbezaan tandatangan dalam dokumen tersebut, Aida bersetuju.
Wan Azwan: Dokumen ini adalah tonggak kes pendakwaan untuk membuktikan Najib meluluskan USD975 juta daripada Deustche Bank?
Aida: Betul.
Wan Azwan: Tiada perakuan daripada Najib yang mengesahkan beliau menandatangani dokumen ini?
Aida: Ya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengemukakan bantahan ke atas persoalan dituju, atas alasan Aida bukan pakar tulisan tangan.
Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah menolak bantahan, sambil menyatakan saksi boleh menjawab berdasarkan pemerhatian visual.
Wan Azwan kemudian mencadangkan SPRM cuai dalam penyiasatannya dan gagal merakam keterangan Najib yang memihak kepada pembelaannya.
Dalam satu tuduhan dihadapi, Najib didakwa salah guna kuasa sebagai menteri kewangan ketika itu, pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan pemegang saham tunggal 1MDB untuk mendapatkan kemudahan pinjaman USD975 juta daripada bank berkenaan.
Beliau juga dituduh mengambil langkah sama untuk mendapatkan pinjaman USD250 juta untuk 1MDB daripada bank sama.
Dalam pernyataan pembukaan, pihak pendakwaan menuduh Najib bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau Jho Low, mencuri jutaan ringgit milik 1MDB. Mereka juga menyifatkan Low sebagai cerminan Najib.
Najib dalam pembelaan percaya semua semua wang didepositkan dalam akaun merupakan derma daripada keluarga Diraja Arab.
Beliau juga mendakwa Low bersekongkol dengan ahli lembaga pengarah dan pengurusan 1MDB sehingga mengakibatkan kerugian ke atas dana kedaulatan negara itu.
Najib berdepan perbicaraan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pengubahan wang melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB yang didakwa didepositkan ke akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan bersambung Isnin.