Penyasaran subsidi diesel, NGO cadang tubuh pasukan pantau pencatutan

Penyasaran subsidi diesel, NGO cadang tubuh pasukan pantau pencatutan

Jacob George berkata badan bebas itu perlu dianggotai tokoh dan NGO pengguna yang berperanan memantau perkembangan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan bakar.

shopping mall
NGO pengguna gesa penguatkuasaan ketat oleh KPDN dan pemantauan pasukan khas jika ada peniaga melakukan pencatutan harga.
PETALING JAYA:
NGO pengguna mencadangkan kerajaan mewujudkan pasukan petugas khas bagi memantau pencatutan harga dan ketirisan mungkin berlaku pada peringkat awal pelaksanaan penyasaran subsidi bahan bakar.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Jacob George, berkata tindakan mencatut harga tidak harus berlaku kerana kerajaan telah memperkenalkan mekanisme mengawal kos operasi susulan penyasaran subsidi diesel, – langkah mampu menjimatkan negara RM4 bilion setahun untuk membantu golongan sasar.

Jacob George.

Beliau merujuk pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berhubung langkah membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan dengan terus menyediakan subsidi diesel kepada peniaga menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel.

Insentif itu melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Mencadangkan projek perintis penyasaran subsidi itu dilaksana selama enam bulan, Jacob berkata pasukan petugas khas terbabit akan digerakkan sepanjang tempoh berkenaan bagi melihat masalah jika masih ada ketirisan dan kesalahan mencatut harga.

Beliau berkata, pasukan itu perlu dianggotai tokoh dan pemikir yang biasa dengan selok-belok isu pengguna untuk memberi pandangan kepada kerajaan berhubung masalah yang timbul.

“Mereka akan turun padang memantau harga barang untuk jadi ‘perisik’ yang kemudian memberi nasihat kepada Jemaah Menteri.

“Jadi kerajaan dapat baiki kelemahan dan pastikan harga barangan dapat dikawal, saya percaya kartel pun boleh dikesan melalui petugas khas ini,” katanya kepada FMT.

Jacob turut menyokong pelaksanaan penyasaran subsidi oleh pentadbiran Anwar, yang pada pandangannya kerajaan tidak lagi boleh berbelanja besar memberi subsidi pukal jika mahu memperbaiki ekonomi.

“Kita tidak boleh teruskan dengan subsidi pukal selamanya, berbilion ringgit telah disalurkan…tetapi diakui ada kesan seperti kenaikan harga barang dan perkhidmatan.”

Mohideen Abdul Kader.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, turut menyambut baik dasar baharu berhubung subsidi kerana dapat menjimatkan perbelanjaan negara serta membantu golongan sepatutnya, bukan kumpulan kaya.

Namun, beliau mahu langkah itu diiringi penguatkuasaan lebih ketat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) termasuk NGO pengguna di setiap negeri untuk mengelakkan ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

“Nak harapkan (anggota penguatkuasa) KPDN saja memang tak cukup, jadi NGO pengguna di setiap negeri perlu bantu kerajaan pantau situasi di lapangan supaya pelaksanaan ini dapat dilakukan dengan berkesan, dan tiada peniaga ambil kesempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.