PBAPP peruntuk RM2.5 juta pasang meter air pintar

PBAPP peruntuk RM2.5 juta pasang meter air pintar

Fasa pertama pemasangan meter air pintar melibatkan 2,000 akaun pengguna di Balik Pulau tahun ini.

Dengan meter pintar, kaedah pengiraan penggunaan air masih sama, namun pengguna boleh memuat turun bil secara dalam talian dalam tempoh sebulan atau dua bulan sekali, menurut PBAPP. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memperuntukkan RM2.5 juta bagi fasa pertama pemasangan meter air pintar melibatkan 2,000 akaun pengguna di Balik Pulau tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PBAPP K Pathmanathan berkata, pemasangan meter pintar ini kemudian akan diperluas kepada 20,000 akaun pengguna di kawasan lain.

“Kaedah pengiraan masih sama, tetapi dengan adanya meter air pintar, pengguna mempunyai pilihan untuk memuat turun bil secara dalam talian sama ada dalam tempoh sebulan atau dua bulan sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Air Sedunia 2024 yang dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, PBAPP mengambil maklum keluhan pengguna berhubung sistem bil dwibulanan dan menegaskan pengguna tidak membayar lebih daripada kadar air yang digunakan.

Sementara itu, Chow berkata, kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan tarif air baharu yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selama hampir dua tahun agar pengguna dapat menikmati kadar air yang rendah.

“Permohonan kenaikan tarif air dibuat pada 2015 lagi, tetapi tidak dilaksanakan disebabkan pelbagai faktor … banyak negeri pada 2023 sudah laksanakan (tarif baharu), kita tunggu sampai Februari lepas, baru laksanakan,” katanya.

SPAN sebelum ini mengumumkan purata kadar baharu di Pulau Pinang untuk penggunaan domestik air sehingga 35 meter padu sebulan ialah RM1.17 bagi setiap meter padu, iaitu 1,000 liter, dan caj minimum setiap bulan ialah RM6.20.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.