Norza letak jawatan presiden BAM selepas Olimpik

Norza letak jawatan presiden BAM selepas Olimpik

Selepas beliau meletak jawatan, Timbalan Presiden I BAM V Subramaniam akan memangku jawatan presiden.

Presiden BAM Norza Zakaria, yang mengumumkan akan meletak jawatan pada Ogos, akan kekal sebagai presiden MOM sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Norza Zakaria hari ini mengumumkan beliau akan meletak jawatan semasa Mesyuarat Majlis akan datang, dijangka pada 24 Ogos, hanya dua minggu selepas Sukan Olimpik Paris 2024 berakhir.

Beliau berkata, Timbalan Presiden I BAM V Subramaniam akan memangku jawatan presiden sehingga penyandang baharu dipilih pada Perhimpunan Agung Tahunan pada akhir penggal semasa, dijangka April hingga Jun tahun depan.

Norza yang menerajui BAM sejak 2017 sebelum ini mengumumkan mahu melepaskan jawatannya pada Disember 2023, dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dinamakan sebagai penggantinya.

Bagaimanapun, setelah dipujuk oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, beliau bersetuju untuk kekal sehingga Sukan Olimpik 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

“Saya masih ingat semasa saya kata nak lepaskan jawatan, terus terang saya katakan, banyak aktiviti politik dalam persatuan.

“Saya akan tinggalkan lebih awal sebelum penggal tamat pada 2025,” katanya selepas Mesyuarat Majlis BAM di Arena Axiata, lapor Bernama.

Norza akan kekal sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Ditanya mengenai pencalonan Tengku Zafrul sebagai presiden akan datang, beliau berkata, perkara ini terpulang untuk diputuskan ahli majlis.

Sementara itu, Subramaniam bersedia memikul tanggungjawab besar yang ditinggalkan Norza dalam meneruskan usaha memperkasakan lagi badan induk badminton negara itu.

“Sama ada saya mahu bertanding (untuk jawatan presiden) atau tidak pada pemilihan akan datang, kita akan bincang kemudian.

“Apa yang lebih penting, saya mahu meneruskan apa sahaja kerja dan rancangan yang ditinggalkan oleh presiden untuk BAM,” katanya.

Subramaniam telah terlibat dengan Persatuan Badminton Selangor sejak 1988 sebelum mula berkhidmat sebagai naib presiden BAM pada 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.