
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, menerusi dana tambahan sebanyak RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada sambutan Hari Belia Negara hari ini, KBS akan menyelaraskan usaha menjalankan program berkaitan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM).
“Hari Belia Negara kali ini ialah tahun kedua kita bekerjasama dengan MBM yang terlibat sebagai penganjur dan KBS hanya memantau pelaksanaan sambutannya.
“Ini usaha kita dalam memperkasakan MBM secara terus untuk terlibat sama dalam penganjuran dan bukannya sebagai pemerhati,” katanya selepas majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir.
Mengulas lanjut, Yeoh berkata, penganjuran sambutan Hari Belia Negara diyakini dapat memperkukuh potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara.
Selain itu, ia dapat memperluas akses belia kepada inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan seiring dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030, katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Yeoh berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan Hari Belia Negara tahun ini, meliputi pelaksanaan sebanyak 3,107 aktiviti dengan penyertaan seramai 2.5 juta orang di seluruh negara.
“Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti Bacaan Ikrar Belia Malaysia pada 15 Mei lepas, Semarak Hari Belia Negara, Konvensyen Belia Integriti Nasional, Khutbah Jumaat semua negeri, sambutan di peringkat negeri dan kebangsaan, dalam (usaha) memastikan (golongan) belia mendapat akses kepada maklumat dan program pembangunan belia pada peringkat akar umbi,” katanya.