Apa ‘syarat’ Jabatan Insolvensi untuk individu bankrap bekerja, UiTM ditanya

Apa ‘syarat’ Jabatan Insolvensi untuk individu bankrap bekerja, UiTM ditanya

Enam bekas penuntut AUCMS mempersoalkan sama ada jabatan terbabit mengambil kira nasib dan kepentingan mereka semasa membuat keputusan.

insolvency letter
Surat 2019 yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi tidak merujuk kepada ahli akademik itu yang dilantik sebagai ketua jabatan dan tidak menetapkan syarat, kata Dr K Raguvaran. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Enam bekas penuntut kolej perubatan swasta yang tidak lagi beroperasi mahu Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendedahkan “syarat” yang ditetapkan oleh Jabatan Insolvensi untuk mengambil seorang bankrap di Fakulti Perubatannya.

Bekas penuntut Kolej Sains Perubatan Universiti Allianze (AUCMS) itu, mempersoalkan sama ada jabatan terbabit mengambil kira nasib mereka apabila membuat keputusan.

Mereka berkata, dianggarkan 100 pelajar mengalami ‘kerugian teruk’ susulan penutupan AUCMS secara mengejut 10 tahun lalu.

Turut terjejas, kata mereka, adalah kakitangan kolej yang kehilangan pekerjaan, manakala caruman KWSP tidak dibuat untuk mereka.

Kolej itu, yang diasaskan dan diketuai oleh ahli akademik yang sama pada 2002, terpaksa ditutup selepas menghadapi masalah kewangan. Penuntutnya sama ada mendaftar di kolej lain dan membayar yuran penuh atau berhenti pengajian.

Jurucakap mereka, Dr K Raguvaran, berkata Jabatan Insolvensi bertanggungjawab menjaga kepentingan pemiutang dan melaporkan kepada mereka cadangan yang dibuat oleh penghutang berkenaan dengan penyelesaian mereka.

Raguvaran mengulas kenyataan UiTM awal minggu ini bahawa individu bankrap itu telah diberi kelulusan “bersyarat” oleh Jabatan insolvensi untuk memegang jawatan sebagai ketua Jabatan Kardiovaskular dan Torasik.

“Surat 2019 yang kita lihat tidak merujuk kepada ahli akademik itu sebagai ketua jabatan. Juga, surat itu tidak mengandungi syarat dan tidak ada disebut tentang cara dia menyelesaikan kerugian kami.

“Kebangkrapannya secara langsung berkaitan dengan penutupan AUCMS. Kami tidak mendapat pulangan satu sen pun daripada kolej sehingga hari ini,” katanya kepada FMT.

Dalam perkembangan baharu, semakan FMT mengesahkan bahawa ahli akademik itu tidak lagi mengetuai jabatan terbabit tetapi masih berkhidmat sebagai ‘profesor’.

Raguvaran berkata ramai bekas penuntut AUCMS mengambil pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menurut ahli akademik itu akan diselesaikan selepas mereka menamatkan kursus lima tahun mereka.

“Kami masih membayar pinjaman PTPTN yang diberikan kepada universiti secara terus tetapi tidak digunakan untuk membiayai pengajian kami,” katanya.

Menurut laporan, universiti itu membeli Trent Park House di utara London daripada Middlesex University pada 2023 dengan harga £30 juta (RM168 juta ketika itu) untuk membuka kampus cawangan, tetapi bangunan dan kampus itu tidak pernah dibangunkan.

Penutupan kolej itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kegagalan perjanjian berkenaan.

Raguvaran berkata Jabatan Insolvensi perlu membatalkan surat bersyarat serta-merta dan memberitahu ahli akademik itu supaya mula menjelaskan hutangnya kepada penuntut terbabit.

“Kami telah banyak menderita akibat penutupan itu disebabkan oleh salah urus dan janji palsu biasiswa yang tidak pernah menjadi kenyataan. Kami diminta membayar terlebih dahulu secara berperingkat dengan jaminan bahawa yayasan tertentu akan membayar balik yuran tersebut.

“Ini tidak pernah berlaku dan kami dihantar ke universiti awam dan swasta lain di mana kami perlu memulakan semula pengajian dan membayar yuran sekali lagi.

“Kami terkejut kerana beliau telah dibenarkan menjawat jawatan kanan di UiTM ini,” katanya.

FMT telah menghubungi pihak akademik dan Jabatan Insolvensi Pulau Pinang untuk mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.