Polis siasat kolumnis dakwa UiTM amal ‘aparteid’

Polis siasat kolumnis dakwa UiTM amal ‘aparteid’

Setakat ini, polis menerima 14 laporan di seluruh negara berhubung penulisan kolumnis yang diterbitkan pada Rabu lepas itu, kata KPN.

razarudin husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, polis menerima laporan pertama berhubung penulisan Andrew Sia petang semalam, dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik di IPD Dang Wangi.
PETALING JAYA:
Polis membuka kertas siasatan terhadap kolumnis sebuah portal berita tempatan berhubung penulisannya yang dikatakan mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengamalkan sistem ‘aparteid’.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, setakat 6 petang ini, pihaknya menerima 14 laporan polis di seluruh negara berhubung penulisan Andrew Sia berkait protes pelajar Bumiputera universiti itu terhadap kemasukan pelajar bukan Bumiputera.

Katanya, laporan pertama diterima petang semalam, dibuat oleh ketua penerangan sebuah parti politik di IPD Dang Wangi.

“Lelaki terbabit menyedari artikel bertajuk ‘Our Apartheid Academy, UiTM’ yang dimuat naik di sebuah portal ketika berada di sebuah hotel,” katanya, lapor Harian Metro.

Razarudin berkata, semakan mendapati artikel itu dimuat naik ke portal terbabit pada 10.30 pagi, Rabu lepas.

“Polis akan memohon ‘profiling’ daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan butiran penulis (Sia) untuk membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1988.

Terdahulu dilaporkan Pemuda Umno mendesak Sia memohon maaf secara terbuka berhubung penulisannya yang mendakwa UiTM mengamalkan sistem ‘aparteid’.

Ketuanya, Akmal Saleh berkata, semua ahli sayap itu di seluruh negara akan dikerah membuat laporan polis berhubung penulisan yang dianggap bersifat perkauman itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.