Peminjam Kowamas tidak lagi disenarai hitam bank

Peminjam Kowamas tidak lagi disenarai hitam bank

Semakan penjawat awam terkesan di laman sesawang khas Bank Negara Malaysia menunjukkan mereka telah dikeluarkan dari senarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Pusat (CCRIS).

Salmi Said menghargai pendedahan FMT yang membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
PETALING JAYA:
Sekurang-kurangnya 22 penjawat awam telah dikeluarkan daripada senarai hitam pusat rujukan kredit, seminggu selepas FMT melaporkan kesukaran dihadapi mereka selepas mendapat pembiayaan dengan sebuah koperasi.

Minggu lalu, FMT melaporkan keluhan wakil kumpulan terbabit yang mendakwa nama mereka disenarai hitam dalam Sistem Maklumat Rujukan Pusat (CCRIS) walaupun dokumen rasmi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mengesahkan mereka telah habis membayar pinjaman kepada Koperasi Wawasan Malaysia Berhad (Kowamas).

Salmi Said, 39, berkata semakannya dan rakan penjawat awam lain yang terjejas dengan perkara itu di laman sesawang khas Bank Negara Malaysia hari ini menunjukkan mereka telah dikeluarkan dari senarai hitam.

“Syukur masalah ini boleh dikatakan hampir selesai sepenuhnya, walaupun lega kami perlu menerima surat pelepasan daripada bank untuk pengesahan.

“Tak mahu timbul masalah sama pada kemudiannya hari,” katanya yang berkongsi sekitar 22 daripada 36 penjawat awam berada dalam kumpulan mereka memaklumkan telah dikeluarkan dari senarai hitam CCRIS.

Menurut Salmi, mereka berterima kasih dengan pendedahan FMT yang mendapat perhatian Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Ahmad Norihan Jalal sehingga membantu menyelesaikan masalah mereka.

Kowamas dalam maklum balasnya pula berkata pihaknya telah berhubung dengan bank berkenaan untuk menangani isu terbabit dengan segera.

Seorang lagi peminjam Aida Abdullah turut menghela nafas lega apabila perjuangannya selama dua tahun untuk ‘keluar’ dari senarai hitam telah berjaya.

Dia turut berharap perkara itu akan menjadi pengajaran kepada penjawat awam lain supaya lebih berhati-hati dan cakna dengan segala transaksi pembayaran.

“Kena sentiasa cakna ke mana duit yang kita bayar itu,” katanya yang sebelum ini terpaksa berulang alik dari Kedah ke Selangor dengan menaiki bas bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Shafiq Sahat, 35, meminta Kowamas memulangkan kembali yuran keahlian dan saham koperasi miliknya seperti terkandung dalam perjanjian jika mereka berhenti sebagai ahli.

“Kami masih menunggu bayaran balik yuran ahli dan saham koperasi, walaupun jumlahnya tidak seberapa tapi tetap hak kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.